Select your language
KUALA LUMPURM, 7 Julai – Program Bakul Makanan yang melibatkan peruntukan RM80 juta di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) untuk agihan sebanyak RM300,000 bagi setiap ahli Parlimen termasuk parti pembangkang telah mula disalurkan pada 1 Julai, 2021.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata baki selebihnya daripada peruntukan bagi bantuan bakul makanan tersebut akan diagihkan kepada masyarakat Orang Asli di negara ini.
"Dalam menyampaikan bantuan kepada rakyat, kerajaan tidak memandang kepada perbezaan politik. Semua wakil rakyat mestilah membantu rakyat yang sedang menanggung kesusahan," katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-60 yang dikeluarkan hari ini.
Selain itu, katanya, program Bakul Makanan juga disalurkan di bawah Pakej Perlindungan Ekonomi & Rakyat Malaysia (PERMAI) sebanyak RM50 juta di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang melibatkan pemberian barangan makanan dan keperluan bernilai RM100 kepada mereka yang memerlukan.
"Sehingga 7 Julai, 2021, sebanyak 438,376 bakul makanan telah berjaya diagihkan kepada golongan yang terkesan," katanya.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah melanjutkan Program Penjana Kerjaya 2.0 bagi mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan mengurangkan penggangguran dalam pekerja tempatan.
"Melalui Program Penjana Kerjaya 3.0 di bawah PEMULIH, kadar gaji minimum yang layak menyertai program ini diturunkan daripada RM1,500 kepada RM1,200 sebulan. Ini menyenangkan syarikat-syarikat untuk mengambil lebih pekerja.
"Tempoh kontrak penggajian bagi semua kategori insentif juga dikurangkan dari 12 bulan kepada enam bulan bagi kumpulan pekerja berumur 50 tahun ke atas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan juga bekas banduan," jelasnya
. Tengku Zafrul berkata bagi Insentif Kerjaya Gig, ia ditambah baik dengan peluasan skop pengambilan pekerja meliputi pekerjaan gig ataupun sementara dan dibuka kepada penggangur tegar iaitu mereka yang mengganggur lebih daripada 180 hari.
Selain itu insentif untuk agensi pekerjaan swasta (APS) yang menyokong usaha pencarian pekerjaan juga diperluaskan kepada kategori pekerja berkemahiran rendah dengan gaji dibawah RM3,000 sebulan.
Jelasnya, APS akan menerima insentif RM100 bagi setiap penempatan.
Permohonan akan dibuka mulai 15 Julai, 2021 sehingga 31 Dis, 2021, dan dijangka menjana 180,000 penempatan pekerjaan sehingga akhir tahun ini, tambahnya.