RM115.19 juta tuntutan COVID-19 diluluskan kepada penerima MySalam sejak pandemik bermula

RM115.19 juta tuntutan COVID-19 diluluskan kepada penerima MySalam sejak pandemik bermula

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Sejumlah RM115.19 juta tuntutan COVID-19 telah diluluskan kepada penerima Skim Perlindungan Masyarakat MySalam (MySalam) sejak permulaan pandemik tahun lepas, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata sebanyak 108,458 tuntutan berjumlah RM92.91 juta pula telah diluluskan kepada penerima MySalam setakat 30 Sept, 2021.

“MySalam merupakan skim perlindungan berbentuk insurans yang diberikan kepada golongan B40 melalui Tabung Amanah MySalam,” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-71 yang dikeluarkan pada Khamis.

Katanya golongan B40 yang layak akan menerima skim perlindungan sebanyak RM8,000 bagi 36 penyakit kritikal seperti yang tersenarai di www.mysalam.com.my/b40/info

Tengku Zafrul berkata skim MySalam ini telah dipanjangkan kepada kumpulan B40 yang telah dijangkiti COVID-19 dan mereka yang dikuarantin sebagai pesakit di bawah siasatan (PUI) melalui inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

Bagi Program Pekerjaan Jangka Pendek (MySTEP), beliau berkata inisiatif itu berjaya mencapai sasaran keseluruhan 50,000 peluang pekerjaan apabila kerajaan memperuntukkan sejumlah RM700 juta bagi peluang pekerjaan di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) secara kontrak.

Katanya sebanyak 35,000 peluang pekerjaan disediakan di sektor awam manakala 15,000 peluang pekerjaan turut disediakan di GLC dan rakan-rakan strategik mereka.

Setakat 10 Sept 2021, seramai 50,501 orang telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program MySTEP.

“Daripada jumlah ini, seramai 36,463 orang telah ditempatkan di sektor awam manakala 14,038 orang pula berjaya ditempatkan di GLC dan rakan-rakan strategik mereka.

“Walaupun kerajaan telah mencapai 101 peratus daripada sasaran keseluruhan MySTEP bagi tahun 2021, usaha pengambilan pekerjaan ini turut akan diteruskan sehingga akhir tahun 2021,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan telah menyalurkan sejumlah RM1.386 bilion kepada 80,491 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 708,109 pekerja di bawah Program Subsidi Upah 2.0 (PSU 2.0).

Bagi Dana Pinjaman Mudah Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang dikendalikan Bank Negara Malaysia (BNM), setakat 24 Sept 2021, jumlah permohonan yang telah diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetuju terima oleh PKS adalah RM12.46 bilion yang akan memberi manfaat kepada 26,197 PKS.

Katanya jumlah ini termasuk dana Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Kemudahan Automasi dan Digitalisasi (ADF), Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES) dan Kemudahan Agromakanan (AF).

“Walaupun dana SRF telah dimanfaatkan sepenuhnya, PKS masih boleh memohon skim pembiayaan yang masih tersedia melalui Tabung BNM seperti ADF, AES dan AF,” katanya.

PKS juga boleh mendapatkan pembiayaan lain melalui platform imSME di pautan imsme.com.my yang boleh membantu dalam membuat padanan pembiayaan yang diperlukan dengan pelbagai penyedia dana untuk PKS.