RM171.64 juta disalurkan bagi sokong industri pertanian, jaminan makanan

RM171.64 juta disalurkan bagi sokong industri pertanian, jaminan makanan

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Sejumlah RM171.64 juta dalam bentuk pembiayaan telah disalurkan kepada 13,871 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro pertanian setakat 9 Julai 2021 bagi menyokong industri pertanian dan makanan negara.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata jumlah tersebut adalah sebahagian daripada RM400 juta yang diperuntukkan bagi golongan tersebut.

“Di bawah skim sokongan industri pertanian dan makanan ini, sejumlah RM350 juta merupakan peruntukan di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank.

“Jaminan makanan amat dititikberatkan dalam PENJANA (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara) dan juga Belanjawan 2021,” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-62 yang dikeluarkan pada Khamis.

Menurut Tengku Zafrul, di bawah Dana Pinjaman Mudah PKS setakat 9 Julai 2021, jumlah permohonan diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetuju terima oleh PKS adalah sebanyak RM12.26 bilion yang akan memberi manfaat kepada 25,894 PKS.

Jumlah itu termasuk dana Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Kemudahan Automasi dan Digital (ADF), Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES) serta Kemudahan Agromakanan (AF).

“Walaupun dana SRF telah dimanfaatkan sepenuhnya, PKS masih boleh memohon skim pembiayaan yang masih disediakan melalui Tabung Bank Negara Malaysia (BNM) seperti ADF, AES dan AF,” katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata sebanyak RM4.26 juta telah disalurkan kepada 520 penerima bagi Inisiatif Pemulihan CENDANA setakat 9 Julai, 2021.

“Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta yang dijangka memberi manfaat kepada 3,000 penerima dalam kalangan seniman dan organisasi sektor seni dan budaya Malaysia.

“Penerima akan menerima saiz geran yang berbeza bergantung kepada permohonan dan program yang disasarkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya penggiat industri kreatif memanfaatkan peluang menerusi kemudahan yang disediakan itu.

Menurutnya, maklumat lanjut mengenai permohonan berkaitan boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang www.mycreative.com.my/penjana dan www.cendana.com.my