Sejumlah RM12.43 bilion dana pinjaman mudah PKS diluluskan setakat 10 Sept – Tengku Zafrul

Sejumlah RM12.43 bilion dana pinjaman mudah PKS diluluskan setakat 10 Sept – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 23 Sept – Sejumlah RM12.43 bilion dana telah diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetuju terima oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah program Dana Pinjaman Mudah PKS setakat 10 Sept, 2021.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata dana yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) ini bakal memberi manfaat kepada 26,154 PKS.

“Jumlah ini termasuk dana Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Kemudahan Automasi dan Digital (ADF), Kemudahan untuk Semua Sektor Ekonomi (AES) dan Kemudahan Pertanian Pemakanan (AF),” katanya dalam Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-69 yang dikeluarkan hari ini.

Walaupun dana SRF telah dimanfaatkan sepenuhnya, beliau berkata PKS masih boleh memohon skim pembiayaan yang masih tersedia melalui Tabung BNM seperti ADF, AES dan AF.

Beliau menambah PKS juga boleh mendapatkan pembiayaan lain melalui platform imSME di pautan www.imsme.com.my yang boleh membantu dalam membuat padanan pembiayaan yang diperlukan dengan pelbagai penyedia dana untuk PKS.

Bagi Geran Pendigitalan PKS pula, Tengku Zafrul berkata setakat 10 Sept, 2021, sebanyak RM96.46 juta telah disalurkan kepada 34,761 PKS dalam bentuk geran padanan.

“Bank Simpanan Nasional (BSN) telah menyediakan geran padanan berjumlah 50 peratus sehingga RM5,000 bagi membantu PKS untuk mengguna pakai perkhidmatan pendigitalan dalam operasi perniagaan harian untuk meningkatkan daya persaingan dan produktiviti perniagaan.

“Setiap PKS dibenarkan untuk memohon sehingga tiga jenis perkhidmatan dengan satu atau lebih pembekal perkhidmatan pendigitalan yang berdaftar dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC),” katanya.

Geran tersebut dibekalkan oleh kerajaan untuk tempoh lima tahun bermula 17 Feb, 2020 atau apabila mencapai 100,000 permohonan, yang mana terdahulu, jelas beliau.

Sementara di bawah Skim Jaminan Prihatin DanaJamin (DPGS), Tengku Zafrul berkata sebanyak RM1.72 bilion dana bagi 52 buah syarikat telah diluluskan daripada 86 permohonan setakat 10 Sept, 2021

“Dana yang diperkenalkan oleh kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin (PRIHATIN) menyediakan Kemudahan Skim Jaminan berjumlah RM50 bilion dengan jaminan sehingga 80 peratus daripada jumlah pinjaman bagi tujuan membiayai modal kerja.

“Skim ini disasarkan kepada perniagaan yang berdaya maju dalam semua sektor yang menghadapi kesukaran akibat penularan pandemik COVID-19. Di bawah Bajet 2021, program ini turut dilanjutkan dengan syarat-syaratnya ditambah baik,” katanya.

Setakat ini, sebanyak 11 bank telah melibatkan diri dalam skim ini iaitu Malayan Banking Bhd; CIMB Bank Bhd; OCBC Bank (Malaysia) Bhd; Alliance Bank Malaysia Bhd; AmBank (M) Bhd; Hong Leong Bank Bhd; United Overseas Bank (Malaysia) Bhd; Affin Bank Bhd/ Affin Hwang Investment Bank Bhd; RHB Bank Bhd; Bangkok Bank Bhd; dan MIDF Amanah Investment Bank Bhd