Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

Tengku Zafrul dilantik semula sebagai Menteri Kewangan, Azmin kekal portfolio di MITI

Tengku Zafrul dilantik semula sebagai Menteri Kewangan, Azmin kekal portfolio di MITI

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Seperti dijangkakan banyak pihak, ahli perbankan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dilantik semula sebagai Menteri Kewangan untuk menganggotai kabinet baharu yang dibentuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada Jumaat.

Tengku Zafrul dilantik buat kali pertama sebagai Menteri Kewangan pada 9 Mac, 2020.

Selain itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga dilantik sebagai Menteri Kanan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri manakala Datuk Seri Mustapa Mohamed dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).

Kabinet baharu itu juga menyaksikan Datuk Zuraida Kamaruddin dilantik sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi selain Tan Sri Noh Omar sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Ismail Sabri yang baru dilantik sebagai Perdana Menteri mengumumkan senarai barisan 'Kabinet Berorientasikan Hasil' yang merupakan pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat pada 11 pagi Jumaat dan disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen.

Mengumumkannya di Perdana Putra di Putrajaya, beliau membentuk kabinet itu yang merupakan satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan Keluarga Malaysia.

Beliau mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Sabtu lepas di Istana Negara.

Beliau menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan pada 16 Ogos selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen selain cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.

Profil Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

Sepanjang 17 bulan sebagai Menteri Kewangan dalam kabinet yang dibentuk Muhyiddin, Tengku Zafrul juga dilantik sebagai Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk memantau pelaksanaan strategi dan langkah bantuan, serta mengambil tindakan proaktif dalam menangani COVID-19 yang menimbulkan krisis kesihatan dan ekonomi.

Beliau juga bertanggungjawab terhadap Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana).

Sepanjang tempohnya di kementerian, kerajaan telah melaksanakan lapan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion untuk mengatasi krisis kesihatan sejak pandemik itu melanda negara tahun lepas.

Antara pakej itu ialah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara; Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat; Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia; Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi; serta Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi.

Sebelum dilantik dalam kerajaan, Tengku Zafrul ialah ketua pegawai eksekutif kumpulan dan pengarah eksekutif CIMB Group Holdings Bhd.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata tanggungjawab tersebut adalah amanah yang sangat besar, justeru beliau serta seluruh warga #TeamMOF serta agensi di bawah Kementerian Kewangan akan terus melakukan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi negara.

“Alhamdulillah, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, atas kepercayaan beliau melantik saya sebagai Menteri Kewangan,” katanya dalam Facebook pada Jumaat.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin pula menerusi akaunnya di Twitter berkata beliau terus komited untuk memastikan ekonomi terus mara di atas pertumbuhan dan pemulihan mampan demi Keluarga Malaysia.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida dalam akaunnya di Facebook juga menekankan bahawa tiga prinsip yang diutarakan perdana menteri, iaitu peka, bertanggungjawab dan amanah, serta mengembalikan keyakinan rakyat akan digenggam erat oleh anggota kabinetnya.

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility