Kementerian Kewangan (MOF) telah menerbitkan sebuah Kertas Konsultasi Awam (KKA) untuk Bajet 2023 bertajuk “The Implementation Of Globe Rules In Malaysia” berkaitan dengan penglibatan Malaysia di dalam pelaksanaan Global Anti-Base Erosion (GloBe) Model Rules (Pillar Two) Initiative, inclusive Framework on Base Erosion and Profit Shifting (BEPS). Sektor perniagaan termasuk pakar percukaian dijemput untuk memberi maklumbalas kepada KKA tersebut yang boleh dimuat turun melalui laman web https://belanjawan.mof.gov.my/bajet2023/kertaskonsultasi/
Penerbitan KKA tersebut merupakan pelengkap kepada Kenyataan Pra-Bajet 2023 yang diterbitkan pada 3 Jun 2022, dan juga merupakan sebahagian daripada usaha keseluruhan MOF untuk mendapatkan maklumbalas rakyat serta perniagaan berhubung cadangan dasar Kerajaan yang akan dipertimbangkan untuk Bajet 2023. Langkah ini telah bermula sejak tahun 2021 lagi bagi menambahbaik dan meningkatkan penglibatan semua pihak dalam proses penyediaan Bajet tahunan.
Selanjutnya, Kementerian Kewangan akan menerbitkan beberapa KKA Bajet 2023 berhubung dengan pembiayaan bagi pembangunan mampan, penerapan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) dan pelaksanaan subsidi secara bersasar.
Kerajaan yakin penerbitan KKA akan menyediakan lebih banyak peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk memberi maklumbalas masing-masing bagi membolehkan Kerajaan merangka sebuah bajet tahunan yang memenuhi keperluan rakyat, serta selaras dengan dasar-dasar pembangunan sosio-ekonomi negara.
Kementerian Kewangan mengalu-alukan maklumbalas bagi KKA ini sebelum atau pada 15 Ogos 2022.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
1 Ogos 2022