YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II telah meluncurkan Skim-skim Jaminan Kerajaan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP Berhad) dan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP Berhad), yang fokus kepada usaha membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta pembeli rumah pertama yang berpendapatan kecil dan tidak tetap untuk memperoleh akses kepada pembiayaan daripada institusi-institusi kewangan yang terlibat.
Dalam Belanjawan 2025, Kerajaan telah memperuntukkan RM20 bilion kepada SJPP Berhad, yang dijangka menjamin sehingga 80 peratus pembiayaan usahawan PKS. Kerajaan MADANI juga meningkatkan jaminan tambahan SJKP sebanyak RM10 bilion untuk tahun 2025 yang bakal memanfaatkan lebih 20,000 peminjam.
Di majlis sama, SJPP dan SJKP turut memberikan pengiktirafan kepada institusi kewangan terbaik yang telah menunjukkan komitmen dan penglibatan yang luar biasa dalam pelaksanaan skim-skim ini. Anugerah prestasi terbaik SJPP diterima oleh Kumpulan Maybank, Kumpulan Perbankan RHB, Kumpulan CIMB, UOB Bank (M) Berhad dan Alliance Bank Malaysia Berhad. Manakala anugerah prestasi terbaik SJKP diberikan kepada Kumpulan Maybank, Bank Simpanan Nasional, Bank Muamalat Malaysia Berhad, RHB Islamic Bank Berhad dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad.
Hadir sama YBhg. Dato' Dr. Amiruddin Muhamed, Setiausaha Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan, Kementerian Kewangan dan YBhg. Datuk Fazlur Rahman Zainuddin, Pegawai Utama SJPP Berhad dan SJKP Berhad.
Maklumat lanjut di www.sjpp.com.my dan www.sjkp.com.my.