Pilih bahasa anda
mySalam yang diuruskan sepenuhnya oleh Great Eastern Takaful Berhad terus memperkukuh usaha dalam memastikan masyarakat yang layak mendapat akses kepada perlindungan kewangan dan maklumat berkaitan manfaat skim menerusi penganjuran Karnival 3K Pulau Tuba, Langkawi, yang membawa tiga teras utama iaitu Kewangan, Kesihatan dan Kebajikan kepada komuniti setempat.
Program ini mencerminkan komitmen mySalam untuk mendekati masyarakat termasuk mereka yang tinggal di kawasan pulau dan lokasi yang jauh daripada pusat bandar, sekali gus memastikan faktor geografi tidak menjadi penghalang kepada komuniti untuk mengetahui dan mendapatkan manfaat perlindungan yang disediakan.
Turut hadir YBhg. Tan Sri Johan Mahmood Merican; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan dan YBhg. Datuk Seri Haji Iskandar Datuk Haji Mohd Kaus; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).
Karnival 3K tersebut juga memberi penekanan kepada aspek literasi kewangan dan kesejahteraan komuniti. Antara pengisian program ialah sesi taklimat, BijakWang Amazing Race, reruai berkaitan kewangan serta pemeriksaan kesihatan percuma.
Sehingga 30 Oktober 2026, lebih dua juta penerima telah menerima manfaat mySalam dengan jumlah bayaran tuntutan melebihi RM1.58 bilion, mencerminkan peranan skim tersebut sebagai salah satu jaringan perlindungan kewangan kepada golongan yang memerlukan.
Orang ramai boleh mendapatkan bantuan secara langsung di kiosk mySalam yang beroperasi di hospital kerajaan bagi memudahkan urusan tuntutan. Maklumat lanjut mengenai skim berkenaan boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi www.mysalam.com.my.