Sesi Libat Urus #Bajet2022 bersama MDEC & Wakil-wakil Industri

Sesi Libat Urus #Bajet2022 bersama MDEC & Wakil-wakil Industri

Krisis COVID-19 telah membuka peluang kepada kita untuk meningkatkan usaha pendigitalan di Malaysia, terutamanya untuk rakyat dan peniaga kecil. Walaupun usaha pendigitalan telah meningkat, masih banyak ruang untuk penambahbaikan terutamanya di luar bandar. ⠀⠀

YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan mengadakan sesi libat urus #Bajet2022 bersama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) serta wakil-wakil industri dan pelbagai penyedia platform digital seperti Microsoft, Grab, Shopee dan Dell Technologies untuk #Bajet2022.

Dalam meningkatkan pendigitalan di Malaysia, Kerajaan telah menyediakan pelbagai peruntukan, antaranya RM300 juta di bawah program eBelia untuk menggalakkan penggunan eDompet dalam kalangan belia, RM150 juta di bawah Program Shop Malaysia Online, sebuah kempen yang memberikan insentif kepada peniaga tempatan dalam bentuk diskaun dan baucar untuk merancakkan urusan jual beli dalam talian serta RM150 juta di bawah kempen e-Dagang PKS dan PKS mikro untuk membolehkan mereka mengembangkan perniagaan secara dalam talian menerusi kursus dan latihan. Selain itu, Kerajaan juga telah memperkenalkan geran pendigitalan SME bernilai RM300 juta untuk Platform JanaNiaga. ⠀⠀ ⠀⠀

Beliau berharap agar #KeluargaMalaysia akan mengambil peluang sebegini untuk beralih ke platform digital yang pastinya lebih selamat dan mudah. Kerajaan akan memastikan usaha pendigitalan berjalan lancar dan berterusan.