Sesi Penggulungan di Dewan Rakyat

Sesi Penggulungan di Dewan Rakyat

YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan membuat pembentangan untuk sesi penggulungan dan semuanya berjalan lancar. Rang Undang-undang (RUU) Kumpulan Wang COVID-19 telah lulus secara sebulat suara di Dewan Rakyat.

Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang sudi mengajukan cadangan dan soalan-soalan bagi memastikan suara rakyat dapat didengari. #TeamMOF sentiasa mengalu-alukan maklum balas daripada Ahli-ahli Yang Berhormat.

Kerajaan telah berkali-kali mengulangi komitmen bahawa rakyat dan perniagaan yang memerlukan bantuan akan tetap disokong sebaik mungkin dan untuk itu had siling Kumpulan Wang COVID-19 akan ditingkatkan jika perlu dan kini, ia telah diluluskan di peringkat Dewan Rakyat. Setelah diluluskan di Dewan Negara, had siling Kumpulan Wang COVID-19 daripada RM65 bilion akan dinaikkan kepada RM110 bilion bagi membendung penularan wabak COVID-19 serta merawat pesakit COVID-19, menambahbaik bantuan tunai langsung kepada rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan, terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta PKS mikro.

Kementerian Kewangan akan memastikan RUU apabila diluluskan akan dilaksanakan dengan mengutamakan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi.