Sesi Perbincangan Bersama YB Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi

Sesi Perbincangan Bersama YB Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi

YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan mengadakan sesi perbincangan bersama YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi tentang dasar dan hala tuju sektor tersebut untuk memastikan ia terus berada pada landasan sebagai antara penyumbang terpenting kepada pendapatan negara setiap tahun iaitu kira-kira RM60 hingga RM70 bilion.

Perbincangan adalah berkisar berkenaan industri sawit, getah dan komoditi lain. Kerajaan amat prihatin dengan permintaan industri yang terkesan dan akan terus membantu dalam usaha memperkukuh dan meningkatkan sosioekonomi pekebun kecil.

Di bawah Belanjawan 2021, Kerajaan telah meneruskan program pemilikan sijil Minyak Sawit Mampan dengan peruntukan RM20 juta bagi merancakkan pertumbuhan dan meningkatkan daya saing industri sawit negara dan geran padanan sebanyak RM30 juta juga diperkenalkan untuk menggalakkan pelaburan dalam mekanisasi dan automasi. Di samping itu, insentif pengeluaran lateks sebanyak RM16 juta juga telah disediakan secara padanan bagi menggalakkan pengeluaran lateks.

Inisiatif-inisiatif ini akan ditambah baik bersama inisiatif baharu yang sesuai dengan keperluan semasa demi kesejahteraan #KeluargaMalaysia.