Dalam usaha Kerajaan menambah baik pasaran modal menjadi lebih mesra rakyat, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II telah mengadakan perbincangan bersama badan penyelia pasaran modal Malaysia.

Perbincangan-perbincangan tersebut telah berlangsung semasa kunjungan hormat daripada YBhg. Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), YBhg. Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi Bursa Malaysia Bhd serta YBhg. Datuk Muhamad Umar Swift, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia.

Kementerian Kewangan (MOF) akan bekerjasama rapat dengan SC dan Bursa Malaysia dalam merangka strategi untuk merancakkan pasaran modal. Ini termasuk usaha untuk meningkatkan peluang pelaburan untuk rakyat, menarik lebih pelabur untuk membiayai sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan aktiviti pertumbuhan baharu negara serta melaksanakan reformasi pasaran modal dan institusi bagi meningkatkan daya saing Malaysia dan keyakinan pelabur.

