Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat

Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat

YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan hadir ke Dewan Rakyat dan telah menjawab soalan untuk sesi pertanyaan Menteri. Soalan yang diajukan oleh YB Loke Siew Fook (DAP-Seremban) berkenaan kesediaan Kerajaan untuk mengkaji semula dasar ekuiti untuk syarikat penghantar fret memandangkan syarat ekuiti sedia ada sukar untuk dilaksanakan.

Beliau memaklumkan bahawa secara ringkas, isu yang dibangkitkan tersebut bukan isu yang baharu dan keputusan yang diambil mengambil kira pandangan semua pihak. Syarat penyertaan ekuiti Bumiputera sebanyak 51 peratus telah dipersetujui pada tahun 2015 oleh Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan YAB Perdana Menteri pada masa itu. Pada tahun yang sama juga, Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF) telah menghantar permohonan pengecualian bagi syarat ini.

Justeru, pada 2016, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) telah bersetuju untuk mengecualikan syarat ini untuk syarikat tempatan yang memperoleh status Perkhidmatan Logistik Bersepadu Antarabangsa (IILS) sehingga 31 Disember 2020. Pada Disember 2020, MOF telah memaklumkan pelanjutan pengecualian ini sehingga 31 Disember 2021 dan terpakai juga kepada ejen penghantaran kastam bertaraf IILS yang mempunyai majoriti pemilikan asing dan yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Baru-baru ini, MOF telah sekali lagi melanjutkan pengecualian tersebut kepada 31 Disember 2022 agar penelitian penuh oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dapat dilaksanakan lebih lanjut.

Kerajaan sentiasa peka akan keadaan semasa ekonomi dan setiap langkah yang diambil pastinya dilaksanakan menerusi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan agar dapat memberikan impak positif kepada kesejahteraan #KeluargaMalaysia dan ekonomi negara.