Sesi Soal Jawab di Parlimen

Sesi Soal Jawab di Parlimen

YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan menjawab beberapa persoalan ketika sesi soal jawab di Parlimen.

Beberapa ahli Parlimen seperti Ahli Parlimen Pasir Mas, YB Tuan Ahmad Fadhli Shaari telah membangkitkan tentang keperluan peruntukan tambahan untuk sekolah-sekolah tahfiz.

Mengimarahkan syiar Islam merupakan antara fokus yang diberi perhatian dalam bajet tahunan negara. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah disediakan peruntukan khas bagi tujuan naik taraf dan penyelenggaraan Institusi-institusi Pendidikan Islam di bawah penyelarasan Lembaga Penasihat Penyelarasan dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) yang berdaftar dengan pemegang taruh di peringkat Pihak Berkuasa Agama Negeri-negeri, iaitu melibatkan sebanyak 3,450 buah Sekolah Agama Negeri, Sekolah Agama Swasta, Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Agama Persendirian, institusi tahfiz dan institusi pondok yang berdaftar.

Sejumlah RM100 juta diperuntukkan bagi tahun 2021 dan peruntukan berkenaan adalah menyeluruh melibatkan pembaikan prasarana dan infrastruktur institusi. Kerajaan juga bersedia untuk terus menyediakan sejumlah peruntukan khas bagi tujuan tersebut di dalam #Bajet2022.

Seperti kita semua sedia maklum, hal ehwal agama turut terletak di dalam bidang kuasa negeri. Oleh itu, selain peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM100 juta ini, Kerajaan Negeri menerusi agensi-agensi mereka turut menyediakan peruntukan bagi Institusi-institusi Pendidikan Islam di negeri masing-masing.

Bagi tahun ini, sejumlah RM60 juta telah disalurkan kepada sekolah-sekolah yang memerlukan bagi tujuan penyelenggaraan. Namun begitu, kita sedar bahawa selain peruntukan penyelenggaraan infrastruktur, sekolah-sekolah tersebut juga memerlukan bantuan dari aspek pengurusan seperti gaji untuk guru dan kos-kos lain, terutamanya semasa tempoh penutupan sekolah di mana tiada yuran dapat dikutip.

Sehubungan itu, beliau turut telah berkesempatan mengadakan perbincangan bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Tuan Haji Idris Hj Ahmad, tentang isu tersebut dan Kementerian Kewangan sedang meneliti perkara tersebut. Baki sebanyak RM40 juta juga telah disalurkan kepada JAKIM untuk disalurkan kepada Sekolah Agama Swasta, Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Agama Persendirian, institusi tahfiz dan institusi pondok yang berdaftar.