YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah turun padang ke Jempol, Negeri Sembilan, untuk sesi #TinjauMOF, dengan matlamat utama untuk melihat dan mendengar sendiri maklum balas Rakyat mengenai inisiatif-inisiatif Kerajaan serta cadangan-cadangan daripada mereka. Turut bersama adalah YB Dato' Hj Salim Sharif P127, Ahli Parlimen Jempol, serta wakil-wakil agensi berkaitan.
Lawatan pertama mereka adalah ke kilang perusahaan kecil yang dimiliki oleh Encik Adenan Mat Salleh, 51, dan isteri, Puan Ruzizan Abdul Rahman, 50, yang mengusahakan produk madu kelulut dan kuih kapit berinti.



Menarik tentang mereka adalah, perniagaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ini telah dimulakan dengan 10 sarang madu kelulut pada tahun 2008. Dengan usaha yang bersungguh-sungguh, mereka berjaya meluaskan perniagaan melalui pembuatan dan penjualan pelbagai produk makanan dengan bantuan peruntukan dari RISDA di bawah Dana Aktiviti Ekonomi Tambahan. Kini, kilang mereka dapat menggaji lebih ramai penduduk kampung dan meningkatkan kapasiti pembuatan dengan penggunaan mesin moden.
Sektor IKS adalah sektor yang penting di mata Kerajaan kerana ianya dapat membuka banyak peluang keusahawanan kepada mereka yang di luar bandar. Di bawah #Belanjawan2021, Kerajaan telah memperuntukkan lebih RM1.3 bilion untuk program peningkatan keupayaan dan kapasiti kerja, khusus buat usahawan PKS.