YB Senator Tengku Dato' Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan bersama #TeamMOF telah mengadakan sesi turun padang ke Kempen Bantuan Pembayaran Balik Pinjaman, anjuran Bank Negara Malaysia, AKPK dan institusi kewangan di Shah Alam Convention Center (SACC).
Beliau telah berjumpa dengan orang ramai yang datang untuk berbincang dengan hampir 20 institusi kewangan tentang bantuan-bantuan yang boleh mereka dapatkan selepas tamatnya tempoh moratorium automatik pada hujung bulan September ini. Ramai yang berpuas hati kerana bank fleksibel dalam memberikan bantuan seperti moratorium tambahan, pengurangan bayaran bulanan dan pemanjangan tempoh bayaran balik.
Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang melaksanakan moratorium bayaran pinjaman secara automatik selama 6 bulan kepada kesemua peminjam, tidak kira golongan B40, M40 mahupun T20.
Ramai yang mendapat manfaat daripada inisiatif ini dengan beban aliran tunai dapat dikurangkan, manakala para peniaga termasuklah PKS dapat mengurus perbelanjaan dengan lebih baik dalam menghadapi tempoh PKP dan COVID-19 ini.
Sejak Ogos 2020, Kerajaan telah membuka permohonan untuk program Moratorium Lanjutan & Bantuan Bank Bersasar (MLBBB) kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Bagi peminjam yang hilang pekerjaan ataupun mengalami potongan gaji, anda boleh mengemukakan dokumen berkaitan untuk mendapatkan moratorium lanjutan atau pengurangan ansuran sepadan dengan pengurangan gaji bagi tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan (bergantung kepada jenis pinjaman). Bagi yang mempunyai kekangan yang lain seperti pendapatan isi rumah ataupun perniagaan terjejas, bolehlah mendapatkan pelbagai bantuan yang disediakan oleh institusi kewangan. Orang ramai juga tidak perlu bimbang kerana fleksibiliti yang diberikan kepada peminjam sepanjang tempoh ini tidak akan terpapar dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam.
Sehingga kini, sekitar 98% permohonan bantuan pinjaman telah pun diluluskan oleh bank. Penting untuk kita bezakan MLBBB dan Moratorium Automatik. Inisiatif terkini adalah lebih bersasar dan membantu mereka yang benar-benar memerlukan. Golongan B40 dan M40, khususnya, akan terus terbela di bawah program ini.
Bagi mereka yang masih mampu, adalah disarankan agar terus membayar balik ansuran pinjaman selaras dengan perjanjian bayaran masing-masing. Jangan lengah-lengahkan bayaran balik anda. Apabila peminjam mengurangkan jumlah hutang, ia juga demi kebaikan peminjam sendiri. Jika betul-betul mengalami kekangan, terdapat pelbagai bantuan yang disediakan.
Kerajaan sentiasa prihatin dalam memastikan kesejahteraan individu dan kelangsungan perniagaan.
Kempen di SACC Shah Alam akan berlangsung sehingga Isnin, 28 September 2020 (10 pagi - 7 petang).





