Sesi Turun Padang ke Tebrau Food Truck Park, Johor

Sesi Turun Padang ke Tebrau Food Truck Park, Johor

YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan dan #TeamMOF telah berkesempatan ke Tebrau Food Truck Park, Johor.

Beliau sempat bertegur sapa dengan para peniaga di situ dan beliau amat kagum dengan kepelbagaian menu yang ditawarkan di setiap food truck serta kisah-kisah para peniaga sendiri dan perjalanan hidup yang penuh warna-warni yang telah dikongsi dalam mengejar cita-cita sebagai pengusaha food truck yang berjaya. .

Beliau sempat berkenalan dengan pasangan suami isteri iaitu Encik Wan dan Puan Azura yang menjalankan D’Coffee Truck. Beliau amat kagum dengan mesin espresso berkualiti tinggi yang kelihatan di atas lori kecil mereka itu. Menurut Puan Azura, sebelum ini mesin kopi mereka tidaklah secanggih yang ada sekarang. Namun apabila bisnes mula berkembang, pasangan suami isteri tersebut nekad melabur kembali keuntungan untuk membeli mesin espresso dan peralatan barista profesional walaupun kos mencecah puluhan ribu. Dalam masa yang sama, ini membuatkan mereka berpuas hati kerana dapat memberikan minuman kopi yang berkualiti kepada para pelanggan.

Selain itu, beliau turut berkenalan dengan Encik Alan dan isterinya, Puan Elle yang menjual aneka hidangan ayam goreng dalam pelbagai perisa. Mereka gigih menjalankan perniagaan dan telah berjaya memiliki tiga buah food truck.

Semangat juang pengusaha-pengusaha food truck memberi kita harapan bahawa ekonomi akan dapat segera pulih daripada kesan COVID-19 kerana didorong jiwa besar rakyat negara ini. Untuk golongan ini, Kerajaan memperkenalkan Geran Khas Prihatin (GKP) sebagai meneruskan komitmen menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro dan memastikan kelangsungan perniagaan mereka.

Di bawah GKP 4.0 Fasa 1, sebanyak RM500 juta akan disalurkan kepada PKS mikro. Secara keseluruhannya, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada lebih 1 juta PKS mikro di bawah GKP semenjak COVID-19 melanda negara adalah RM6.08 bilion.