Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Pembukaan Berterusan Sektor Ekonomi Bagi Kelangsungan Rantai Bekalan Untuk Produk & Perkhidmatan Penting

Pembukaan Berterusan Sektor Ekonomi Bagi Kelangsungan Rantai Bekalan Untuk Produk & Perkhidmatan Penting

Berikutan pengumuman oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai senarai sektor yang dibenarkan beroperasi selama MCO 3.0 untuk tempoh 1-14 Jun 2021, Kementerian Kewangan ingin menjelaskan bahawa pembukaan berterusan sektorsektor ini sangat penting untuk mencegah kegagalan rantaian bekalan bagi produk dan perkhidmatan yang perlu, bagi menjaga kesejahteraan rakyat.

Walaupun ada keperluan untuk mengawal pandemik COVID-19 secara efisien, terdapat juga keperluan untuk mencegah gangguan terhadap rantaian nilai sektor pembuatan yang mampu mengancam pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang berterusan untuk industri-industri penting seperti makanan, penjagaan kesihatan/peralatan perubatan, farmaseutikal, sabun dan bahan pencuci (terutamanya dalam konteks menjaga kebersihan semasa wabak ini) dan telekomunikasi. Berasaskan pengajaran daripada PKP 1.0, Kerajaan juga akan membenarkan rantaian nilai barang-barang keperluan, seperti pembungkusan dan pelabelan, untuk beroperasi.

Rantaian bekalan adalah ekosistem yang kompleks yang terdiri daripada sumber manusia, proses,operasi, teknologi dan maklumat yang menghubungkan pengeluar dan pembeli melalui rangkaian entiti dan sumber yang berkaitan. Untuk berfungsi dengan lancar, semua elemen di dalam ekosistem ini perlu bergerak seiring untuk memastikan kecekapan.

Keputusan MKN baru-baru ini mengenai sektor yang dibuka semasa PKP 3.0 merangkumi sektor ekonomi yang strategik seperti industri aeroangkasa, Minyak & Gas, Pembuatan serta Elektrikal & Elektronik (E&E).

Pembukaan sektor E&E, sebagai contoh, adalah pengiktirafan bahawa ribuan komponen yang dihasilkan oleh sektor ini membolehkan operasi berterusan infrastruktur kritikal di seluruh dunia, antara lainnya, peralatan penjagaan kesihatan dan perubatan, sistem bekalan air dan grid tenaga, serta rangkaian pengangkutan dan telekomunikasi. Komponen E&E yang dihasilkan di Malaysia juga telah memudahkan e-dagang dan pekerjaan jarak jauh dalam norma baru.

Malaysia juga merupakan pemain utama dalam rantaian nilai global E&E. Sektor E&E menyumbang 40% (atau RM386 bilion) kepada eksport tahunan Malaysia, dan kirakira 7% perdagangan semikonduktor global. Sebagai contoh, Malaysia memainkan peranan yang kritikal sebagai pengeluar tunggal substrat aluminium untuk semua pemacu cakera keras yang dikeluarkan sebuah kilang di Johor yang kemudiannya akan dibekalkan melalui rantaian bekalan global syarikat tersebut. Tambahan pula, pada 2020, sekitar RM15 bilion pelaburan baru di sektor E&E telah diluluskan, yang akan mewujudkan 20,000 pekerjan untuk rakyat Malaysia.

Oleh itu, sebarang penutupan walaupun untuk jangka masa pendek, bukan sahaja akan menjejaskan bekalan keperluan industri di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia, terutamanya dalam keadaan pandemik COVID yang mencabar. Ini juga akan memberi kesan jangka panjang di mana perdagangan dan pelaburan beralih dari Malaysia, dan menjejaskan daya saing Malaysia dalam rantaian nilai global. Kita sudah pun mengalaminya semasa PKP 1.0, apabila pelbagai pengeluar Malaysia melaporkan bahawa pesanan mereka telah dialihkan ke negara pengeluar lain termasuk China.

Untuk mengurangkan risiko penularan COVID-19, Kerajaan melalui pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih rapi, akan memastikan kilang E&E Malaysia mematuhi SOP dengan tegas, dengan had kehadiran fizikal di tempat kerja sehingga 60%.

Secara amnya, sektor perkhidmatan yang menyumbang 57.3% dari KDNK S1 2021, tidak dibenarkan untuk beroperasi. Walaupun Kerajaan secara umumnya membenarkan pelbagai sektor untuk beroperasi, banyak juga yang telah ditutup. Sebagai contoh, di sektor runcit, hanya 11 kategori runcit penting, seperti pasar raya, dibenarkan beroperasi, sementara lebih daripada 20 kategori lain termasuk kedai elektrik, barang kemas, pendandan rambut, bilik pameran kereta kini tidak akan dibenarkan beroperasi. Dalam sektor pembinaan pula, hanya pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan yang kritikal sahaja dibenarkan untuk beroperasi. Ini sejajar dengan fokus Kerajaan untuk mengurangkan jumlah serta pergerakan orang ramai di tempat-tempat awam.

Kementerian Kewangan ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan semua bahawa pendekatan menyeluruh kita sebagai sebuah negara atau whole-of-nation approach adalah sangat penting dalam usaha mengatasi wabak ini. Oleh itu, semua rakyat dan perniagaan diminta untuk memainkan peranan mereka dan mematuhi SOP bagi membantu memutuskan rangkaian jangkitan.


Kementerian Kewangan Malaysia
31 Mei 2021

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility