Hari pertama pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada lebih 22 juta rakyat Malaysia dewasa pada 31 Ogos 2025 telah menerima sambutan yang amat menggalakkan, dengan sekitar 850 ribu rakyat berjaya berbelanja lebih RM50 juta setakat jam 9.30 malam.
Sambutan tinggi daripada penerima Penghargaan SARA hari ini telah menyebabkan sistem mengalami transaksi mendadak. Susulan daripada itu, sistem terminal pembayaran yang dikendalikan melalui rangkaian MyKasih telah mengalami penurunan prestasi yang ketara di beberapa lokasi.
Walaupun sistem telah beroperasi dengan lebih perlahan, transaksi masih diterima dan diproses. Kementerian Kewangan (MoF) dan MyKasih telah mengambil langkah untuk meningkatkan kapasiti sistem supaya pada esok hari, 1 September 2025, rakyat dapat terus membuat pembelian melalui SARA dengan lancar tanpa gangguan.
Bagi memastikan sistem kembali stabil dan bersedia untuk rakyat meneruskan perbelanjaan melalui SARA pada 1 September 2025, pihak MyKasih akan melaksanakan kerja penyelenggaraan sistem pada malam ini.
Pihak MoF memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami para pengguna dan akan terus memantau pelaksanaan inisiatif ini agar berjalan lancar. Bilangan transaksi pada hari ini adalah jauh lebih tinggi daripada pengalaman sebelum ini. Sehingga 30 Ogos 2025, pelaksanaan bulanan SARA telah dapat mengendalikan purata transaksi harian sekitar 600,000 transaksi sehari.
MoF juga ingin mengingatkan bahawa kredit RM100 one-off Penghargaan SARA ini kekal sah sehingga 31 Disember 2025, dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
31 Ogos 2025