Malaysia terus mencatat aliran masuk bersih modal pelabur asing. Ini telah didorong oleh kemajuan positif Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang telah menambah baik situasi keseluruhan kesihatan awam, serta membenarkan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Ini menetapkan nada dan hala tuju bagi pemulihan ekonomi Malaysia yang lebih kukuh untuk suku keempat 2021 (S4 2021).
Walaupun tinjauan ekonomi Malaysia terus berhadapan dengan cabaran oleh peningkatan kadar jangkitan yang berterusan, kemajuan positif vaksinasi dan pengawalan kes COVID-19 yang kritikal dijangka akan mendorong pertumbuhan. Tambahan lagi, beberapa negeri telah beralih ke Fasa 2 dan 3 PPN. Ini termasuklah Lembah Kelang dan Putrajaya yang telah beralih ke Fasa 2 pada 10 September 2021, yang akan membolehkan pembukaan ekonomi yang lebih meluas bagi negeri-negeri dengan populasi yang padat.
Prospek pertumbuhan yang lebih baik ini telah mengembalikan keyakinan pelabur terhadap pasaran modal Malaysia. Bagi bulan Ogos, sejumlah RM7.7 bilion telah dicatatkan dari segi aliran masuk modal pelabur asing. Ini merupakan nilai yang tertinggi semenjak Jun 2020, dan telah mengimbangi aliran keluar bagi dua bulan sebelum itu. Pelabur asing telah menjadi pembeli utama dengan pelaburan bersih di pasaran bon Ringgit sejumlah RM6.6 bilion (Julai 2021: -RM3.6 bilion), dan RM1.1 bilion (Julai 2021: -RM1.3 bilion) bagi pasaran ekuiti negara.
PASARAN EKUITI MALAYSIA
Semenjak Jun 2019, bulan Ogos 2021 merupakan bulan pertama yang mencatat pembelian bersih oleh pelabur asing di pasaran ekuiti Malaysia. Malah, ini menunjukkan penjualan bersih atau aliran keluar pelabur asing yang semakin berkurangan. Indek penanda aras utama Maaysia, FBMKLCI yang telah menurun sebanyak 5.7% setakat tahun ini, telah berjaya pulih pada kadar 50% berbanding kerugian semenjak dua minggu yang lalu. Ini merupakan bukti keyakinan pelabur dan pengurus dana terhadap prospek pertumbuhan negara, serta kesinambungan dasardasar Kerajaan. Selain itu, nilai harga pasaran ekuiti negara yang lebih menarik berbanding pasaran ekuiti negara lain di rantau ini juga menjadi tarikan utama aliran masuk dana pelabur asing.
PASARAN BON RINGGIT MALAYSIA
Dari segi pasaran bon Ringgit, aliran masuk pelabur asing pada Ogos 2021 tertumpu kepada terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) yang bernilai RM3.1 bilion (Julai 2021: -RM3.6 bilion); dan terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) sejumlah RM3.2 bilion (Julai 2021: RM425 juta). Bagi pasaran bon korporat pula, aliran masuk pelabur asing juga telah mencatatkan nilai yang lebih tinggi, iaitu RM267 juta (Julai 2021: +RM62 juta). Setakah hujung Ogos 2021, pegangan pelabur asing bagi bon Kerajaan Malaysia meningkat sebanyak RM23.9 bilion kepada RM226.1 bilion. Ini merangkumi:
Setakat akhir Jun 2021, lebih dari 50% pegangan bagi bon Kerajaan Malaysia dipegang oleh pelabur jangka panjang seperti:
Dari segi pelabur tempatan, pegangan bon Kerajaan disokong oleh kecairan yang mencukupi oleh institusi perbankan, serta pelabur institusi.
Berbanding tahu-tahun yang lalu, semua segmen pasaran bon Ringgit telah menunjukkan penambahbaikan yang teguh walaupun berhadapan dengan cabaran yang berkait dengan COVID. Ini telah digambarkan oleh data kumulatif aliran masuk bersih pelabur asing pada akhir Ogos, di mana sejumlah RM24.5 bilion telah dicatatkan. Ini merupakan nilai yang tertinggi semenjak 2014. Aliran masuk bersih bagi setiap segment sehingga 31 Ogos 2021 adalah seperti berikut:
| Segmen | Aliran masuk bersih (sehingga 31.08.2021) | 2020 (tahun penuh) | 2019 (tahun penuh |
|---|---|---|---|
| MGS | RM12 bilion | +RM13 bilion | +RM17.7 bilion |
| MGII | RM10.6 bilion | +RM3.7 bilion | +RM5.2 bilion |
| Bon Korporat | RM1.4 bilion | -RM390 juta | -RM860 juta |
Tanda-tanda keyakinan pelabur juga dapat dilihat lebih lanjut melalui permintaan bon Kerajaan yang kekal menggalakkan. Ini dicerminkan oleh nisbah bidaan kepada terbitan (BTC), atau kadar terlebih langgan bagi pelbagai penerbitan bon Kerajaan (MGS dan MGII):
| Tahun/ Masa Penerbitan | Jumlah tawaran / permintaan | Jumlah Penerbitan | Nisbah Bidaan kepada Terbitan (BTC) |
|---|---|---|---|
| 2020 | RM290.4 bilion | RM130.8 bilion | 2.22 |
| 31.08.2021 | RM186.0 bilion | RM87.0 bilion | 2.14 |
| 03.09.2021 | RM6.7 bilion | RM2.5 bilion | 2.69 |
Secara keseluruhan, termasuk penerbitan terkini bon Kerajaan pada 3 September 2021 yang mencatatkan BTC sebanyak 2.69 kali, ini menunjukkan bahawa BTC purata tahun ini adalah sebanyak 2.15 kali.
TINJAUAN EKONOMI MALAYSIA
Prospek untuk suku ketiga 2021 dijangka akan terus mencabar ekoran Fasa 1 yang berpanjangan bagi beberapa negeri seperti Selangor yang merupakan penyumbang besar kepada KDNK negara. Walaupun begitu, ini dijangka akan ditampung oleh kelonggaran sekatan bagi rakyat yang telah lengkap vaksinasi, serta negeri-negeri yang telah berjaya beralih ke Fasa 2 dan 3. Pelbagai faktor pertumbuhan terus mendokong asas ekonomi Malaysia, yang kekal berdaya tahan walaupun berhadapan situasi yang mencabar.
Bagi suku keempat (S4 2021), prospek dijangka akan lebih cerah kerana kadar vaksinasi yang terus dipertingkatkan akan membolehkan pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi. Ini akan meningkatkan prospek peningkatan penggunaan dari permintaan terpendam isi rumah dan perniagaan. Faktor lain yang akan mendorong prospek pertumbuhan Malaysia termasuklah permintaan luaran yang lebih memberangsangkan (bagi produk seperti elektrik dan elektronik (E&E), dan hidrokarbon); kenaikan harga komoditi, serta pelaburan yang berterusan bagi projek infrastruktur berskala besar dengan kesan pengganda yang tinggi. Semua faktor ini akan menyumbang kepada pertumbuhan KDNK 2021, yang dijangka akan berada di sekitar 3.0% hingga 4.0%. Ini seterusnya akan mendorong aktiviti di pasaran modal Malaysia pada S4 2021.
Melangkah ke hadapan, pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 pada penghujung September, dan Bajet 2022 pada hujung Oktober akan memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai hala tuju dasar Kerajaan, dan akan membuka jalan kepada pemulihan, pertumbuhan dan penyusunan semula sosio-ekonomi bagi jangka masa pendek, sederhana dan panjang. Kami menjangkakan bahawa momentum pemulihan pada S4 2021 akan diteruskan pada tahun hadapan, di mana faktor kepada pertumbuhan negara akan memanfaatkan pertumbuhan KDNK 2022 Malaysia, yang diunjurkan akan berada pada paras 6.0% oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), dan 5.0% oleh Bank Dunia.
YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz
Menteri Kewangan
11 September 2021