Pilih bahasa anda
Anggaran awal Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.8% pada suku kedua 2026 (S2 2026), lebih kukuh berbanding 5.4% pada suku sebelumnya serta pertumbuhan 5.2% bagi keseluruhan tahun 2025.
Secara amnya, penganalisis ekonomi mengunjurkan pertumbuhan suku kedua menyederhana berbanding S1 2026, dengan median unjuran sebanyak 5.2% dalam tinjauan Bloomberg.
Pertumbuhan ini dicatatkan meskipun ekonomi dunia terus berdepan ketidaktentuan susulan konflik Asia Barat, gangguan laluan perdagangan di Selat Hormuz serta krisis rantaian bekalan global yang meningkatkan harga tenaga, kos logistik dan bekalan input pengeluaran.
Prestasi ini dipacu oleh pertumbuhan sektor Perkhidmatan, Pembuatan, Perlombongan dan pengkuarian serta Pembinaan. Pertumbuhan sebanyak 5.8% pada S2 2026 amat memberangsangkan dan mencerminkan asas ekonomi negara yang pelbagai dan berdaya tahan, lebih-lebih lagi ketika ekonomi global terkesan oleh krisis Asia Barat yang mengganggu rantaian bekalan serta mencetuskan kenaikan mendadak harga minyak dunia.
Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.6% pada Separuh Pertama 2026, lebih kukuh berbanding 4.5% dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.
Dalam kalangan ekonomi serantau yang telah mengumumkan anggaran pertumbuhan S2 2026, prestasi Malaysia sebanyak 5.8% mengatasi Singapura pada 5.7% dan China pada 4.3%. Vietnam pula mencatatkan pertumbuhan sebanyak 8.4%.
“Kerangka Ekonomi MADANI telah memperkukuh keupayaan negara untuk mengekalkan pertumbuhan yang lestari, kendatipun dunia terus dilanda keberantakan. Namun, kita harus menginsafi bahawa pencapaian ini menuntut kita untuk terus istiqamah pada landasan reformasi,” kata YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
“Kerajaan MADANI akur bahawa di sebalik angka pertumbuhan yang memberangsangkan, ramai rakyat serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) masih berdepan kesulitan tatkala tempias krisis global turut dirasai di tanah air. Hatta, sejak tercetusnya krisis Asia Barat, Kerajaan telah bertungkus-lumus menggerakkan pelbagai ikhtiar bagi meringankan beban rakyat, menjamin bekalan barangan penting dan memastikan kelangsungan perniagaan,” tambah beliau.
Sejak April 2026, Kerajaan MADANI telah menggerakkan Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) untuk bekerjasama dengan pihak industri bagi mengenal pasti bekalan kritikal serta mendapatkan sumber alternatif. Usaha ini membantu mengekalkan ketersediaan bekalan dan meredakan tekanan harga meskipun rantaian bekalan global terus terganggu.
Selain itu, Kerajaan telah menyediakan sokongan pembiayaan melebihi RM15 bilion kepada sektor PMKS serta usahawan mikro bagi membantu menampung tekanan kos dan memastikan kelangsungan operasi. Sokongan ini merangkumi kemudahan pembiayaan oleh Bank Negara Malaysia, jaminan pembiayaan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan serta pembiayaan mikro melalui agensi dan institusi kewangan pembangunan.
Sungguhpun Malaysia turut terkesan oleh krisis bekalan global, kadar inflasi negara kekal terkawal pada 1.9% pada suku kedua 2026.
Kerajaan turut mengekalkan harga RON95 bersubsidi di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter, selain memperkenalkan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pada RM2.10 seliter kepada golongan yang layak bagi meringankan beban rakyat serta memastikan kelangsungan operasi perniagaan dan pengangkutan.
“Tiada siapa mampu meramal seluruh gelora yang bakal mendatang. Namun, amanah Kerajaan adalah jelas, iaitu melindungi kesejahteraan rakyat, memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan pada masa sama memelihara tanggungjawab fiskal negara,” kata YAB Dato’ Seri Anwar.
“Kerajaan MADANI akan terus menimbang setiap ikhtiar dengan cermat agar tiada kelompok yang tercicir, perniagaan dapat terus beroperasi dan daya tahan negara terus diperkukuh,” tambah beliau.
DOSM akan menerbitkan KDNK preliminari bagi suku kedua 2026 pada 14 Ogos 2026. Angka yang diumumkan hari ini merupakan anggaran awalan dan tertakluk kepada semakan apabila data yang lebih komprehensif tersedia.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
17 Julai 2026
↓ Muat turun: Siaran-Media-Anggaran-Awal-KDNK-Suku-Tahun-Kedua-2026