Asas-Asas Ekonomi Malaysia Yang Kukuh Perisai Terbaik Bagi Menghadapi Keadaan Ekonomi Global Yang Kian Mencabar
- Baru-baru ini, terdapat pelbagai laporan, kebimbangan dan pertanyaan yang diajukan kepada Kementerian Kewangan, terutamanya berkait kedudukan nilai matawang Ringgit dan perkembangan semasa ekonomi negara.
- Kita perlu mengamati beberapa fakta dan realiti berkenaan perubahan senario ekonomi dunia. Walaupun dunia terus pulih daripada kesan pandemik COVID- 19, kini kita berhadapan dengan cabaran baru yang telah mengakibatkan prospek ekonomi global yang bakal mengalami kemelesetan.
- Ini adalah berikutan ketegangan geopolitik di antara Amerika Syarikat dan China yang berterusan, peperangan di Ukraine yang masih tiada kesudahan, ancaman perubahan iklim seperti banjir dan kemarau di beberapa negara yang telah menjejaskan bekalan makanan, serta dasar sifar COVID-19 di China yang terus mengganggu bekalan rantaian dunia. Faktor-faktor ini jelas sekali berada di luar kawalan kita.
- Kesemua faktor-faktor ini telah menyebabkan harga pelbagai jenis komoditi dan barangan asas melonjak, lantas meningkatkan kadar inflasi ke tahap yang tidak pernah dialami oleh oleh kebanyakan negara dalam masa beberapa dekad. Dalam mengawal inflasi, bank pusat di Amerika Syarikat (AS) telah meningkatkan kadar faedah mereka dengan agresif, iaitu sebanyak 300 mata asas semenjak awal tahun dan para penganalisa pasaran kewangan menjangkakan peningkatan sehingga 4.5% menjelang akhir 2022.
- Dalam mengawal inflasi, bank pusat di Amerika Syarikat (AS) telah meningkatkan kadar faedah mereka dengan agresif, iaitu sebanyak 300 mata asas semenjak awal tahun dan para penganalisa pasaran kewangan menjangkakan peningkatan sehingga 4.5% menjelang akhir 2022. Secara tidak langsung, ini telah mengukuhkan nilai mata wang dolar AS berbanding pelbagai mata wang dunia lain kerana apabila kadar faedah AS tinggi, maka banyak dana daripada negara-negara lain mengalir masuk ke aset-aset dolar AS disebabkan pulangan yang lebih tinggi. Kadar faedah terkini AS adalah sehingga 3.25%, jauh lebih tinggi berbanding kadar OPR 2.5% di Malaysia.
- Walaupun impak kadar faedah AS menyebabkan Ringgit menyusut sebanyak 10.5% dari awal tahun hingga kini, mata wang lain yang juga telah menyusut, dan pada kadar yang lebih tinggi. Ini membuktikan bahawa ini adalah satu fenomena global:

- Jelas sekali bahawa kesan peningkatan kadar faedah AS memberi impak kepada kebanyakan negara di dunia, tetapi ini tidak bermakna kesemua negara ini boleh dikira “gagal”.
- Setiap negara mempunyai cabaran dan dasar-dasar monetari masing-masing, dan nilai mata wang sesebuah negara bukanlah kayu pengukur tunggal untuk menentukan sama ada mereka berhadapan dengan krisis atau tidak. Definisi sebenar krisis ekonomi adalah apabila KDNK merosot secara mendadak, kadar pengangguran dan kebankrapan meningkat dengan ketara, dan taraf hidup keseluruhan penduduk terkesan.
- Definisi krisis kewangan pula adalah apabila sesetengah aset kewangan tiba-tiba susut nilainya secara mendadak dalam masa yang singkat. Ini termasuklah kejatuhan nilai pasaran saham dan mata wang yang mendadak dalam masa yang singkat, serta kegagalan Kerajaan untuk membayar hutang negara.
- Tetapi situasi Malaysia hari ini berbeza jika dibandingkan dengan tahun 1998-1999, 2009, mahupun 2020. Apa yang kita alami sekarang yang bermula sebagai tekanan inflasi global kini telah menyebabkan ketidaktentuan di pasaran kewangan di serata dunia. Impaknya termasuk pengurangan akses kepada dana, dan juga kadar pembiayaan yang meningkat, yang akan terus menjejaskan lagi ekonomi.
- Mengambil UK sebagai contoh, baru-baru ini Kerajaan mereka telah mengumumkan langkah pengurangan cukai berjumlah GBP45 bilion ( ~RM225 bilion). Oleh kerana bank pusat England juga telah meningkatkan kadar faedah untuk mengekang inflasi, tindakan pengurangan cukai ini tidak disambut baik oleh peserta pasaran kewangan mahupun pelabur. Akibatnya, pasaran saham dan bon UK telah mengalami kerugian sekitar USD500 bilion (~RM2.3 trilion). Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) juga telah memberi amaran dan mengecam tindakan Kerajaan UK yang akan melebarkan lagi jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin. Oleh kerana hutang dijangka meningkat untuk menampung pengurangan hasil cukai, agensi penarafan kredit antarabangsa Moody’s telah memberikan amaran bahawa dasar tersebut akan menjejaskan keupayaan Kerajaan mereka membayar hutang, manakala agensi penarafan kredit antarabangsa S&P Global Ratings pula baharu sahaja menyemak semula keupayaan mereka membayar hutang daripada ‘stabil’ kepada ‘negatif’.
- Di AS pula, keputusan bank pusat yang meningkatkan kadar faedah secara mendadak telah menyebabkan kerugian berjumlah USD9 trillion (~RM41 trilion) bagi pasaran saham mereka. Ini telah menjejaskan simpanan hari tua rakyat AS, dan juga nilai syarikat-syarikat tersenarai mereka.
- Turkiye pula telah mengambil keputusan yang sebaliknya, iaitu menurunkan kadar faedah beransur-ansur sejak September 2021. Akibatnya, mata wang mereka telah menyusut 52% semenjak kadar faedah mereka diturunkan, manakala inflasi mereka mencatatkan kadar 80% pada bulan Ogos 2022.
- China juga mengalami cabaran dari segi sekuriti makanan dan sektor pertanian mereka akibat kemarau yang berpanjangan. India dan Pakistan pula, sebagai antara pengeluar utama makanan dunia, berdepan dengan cabaran getir perubahan iklim seperti banjir besar. Di negara-negara Afrika, peperangan di Ukraine yang berlanjutan telah mengakibatkan rakyat terputus bekalan makanan akibat kebergantungan mereka terhadap import makanan yang tinggi. Malah, harga makanan di sana meningkat hampir 24% antara tahun 2020 ke 2022, tertinggi semenjak krisis kewangan tahun 2008.
- Eropah pula kini sedang melalui cabaran bekalan tenaga, terutamanya dari segi bekalan gas asli bagi memanaskan rumah pada musim sejuk yang akan tiba tidak lama lagi, kerana harga gas asli telah meningkat dua kali ganda semenjak awal tahun akibat bekalan dunia yang terus terjejas. Nilai mata wang Euro yang terus menyusut berbanding Dolar AS akan meningkatkan lagi kos dan merumitkan lagi kemelut bekalan tenaga ini.
- Seterusnya, kita juga perlu mengambil maklum bahawa Dolar AS berkedudukan istimewa iaitu sebagai mata wang rizab dunia (reserve currency of the world), dan dianggap sebagai aset selamat (safe haven assets). Dalam konteks ketidaktentuan global seperti ini, pastinya pelabur global akan memindahkan dana mereka ke AS, justeru meningkatkan lagi permintaan untuk Dolar AS. Namun wajar diulang, pergerakan nilai mata wang sesebuah negara bukanlah kayu pengukur tunggal untuk menentukan sama ada mereka berhadapan dengan krisis atau tidak.
- Berdasarkan cabaran-cabaran ini, IMF telah menyemak semula unjuran pertumbuhan global bagi tahun 2023 daripada 3.8% kepada 2.9%. IMF juga telah meningkatkan kadar unjuran inflasi mereka kepada 9.5% bagi negara membangun, dan 6.6% bagi negara maju.
- Hakikatnya, Malaysia sebagai sebuah ekonomi kecil yang terbuka, tidak terkecuali daripada tempias cabaran-cabaran yang dihadapi oleh seluruh dunia seperti yang dinyatakan tadi. Jumlah dagangan luar Malaysia adalah sekitar RM1.8 trilion bagi lapan bulan pertama tahun 2022, iaitu melebihi 120% daripada KDNK pada tahun 2021.
- Kesemua faktor-faktor ini juga akan memberi impak kepada unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi tahun 2023, yang dijangka akan lebih rendah dari tahun 2022. Walaupun Bank Dunia menyemak unjuran KDNK tahun ini lebih tinggi, mereka juga terpaksa menurunkan unjuran KDNK tahun hadapan dari 4.5% kepada 4.2%. Walaupun lebih rendah, kadar 4.2% tidak langsung memenuhi definisi kemelesetan ekonomi atau krisis, terutama sekali kerana asas-asas ekonomi kita tetap kukuh.
- Sebagai contoh, bagi enam bulan pertama tahun ini, aliran masuk pelaburan asing bersih kekal pada tahap yang memberangsangkan dengan jumlah RM41.7 bilion, manakala jumlah pelaburan yang diluluskan mencatatkan nilai RM123.3 bilion. Ini melibatkan lebih dari 1,700 projek dan dijangka mewujudkan lebih dari 57,000 peluang pekerjaan. Kadar pengangguran juga terus menurun ke 3.7% pada Julai 2022, berbanding nilai tertinggi 5.3% pada Mei 2022.
- Ringgit juga terus meningkat berbanding beberapa negara maju dan membangun yang lain. Gambarajah berikut menunjukkan peningkatan nilai Ringgit berbanding beberapa mata wang terpilih (setakat 29 Sept 2022)

Pergerakan nilai matawang Ringgit berbanding Yen Jepun dan Pound Sterling UK (1 Jan hingga 29 Sept 2022)

- Fakta-fakta ini wajar diulangi, agar seluruh Keluarga Malaysia dapat samasama memahami bahawa ada pelbagai faktor-faktor luaran yang bukan di dalam kawalan Kerajaan, tetapi memberi impak langsung kepada isu nilai mata wang ringgit dan inflasi.
- Seperti yang dinyatakan oleh Bank Dunia baru-baru ini, tiada penyelesaian yang cepat dan mudah kepada situasi Ringgit berbanding Dolar AS. Apa yang boleh dilakukan adalah memberi tumpuan kepada pengukuhan asas ekonomi dan pembaharuan struktur. Sehubungan itu, Kerajaan akan terus memastikan:
- akaun semasa sentiasa kekal dalam lebihan, didorong oleh eksport yang terus meningkat, dan negara tidak mengalami defisit berkembar, atau twin deficit. Setakat tahun ini, akaun semasa kekal positif dengan jumlah RM3.0 bilion pada suku pertama, dan RM4.4 bilion pada suku kedua;
- langkah-langkah pembaharuan fiskal diteruskan, termasuklah pembentangan Akta Tanggungjawab Fiskal menjelang akhir 2022; dan
- mempelbagai struktur dan aktiviti ekonomi negara, terutamanya melalui penekanan terhadap sektor-sektor yang menumpukan aspek-aspek kelestarian dan ESG, serta ekonomi digital. Kesemua ini akan mewujudkan peluang pekerjaan yang bakal menawarkan gaji lebih tinggi kepada rakyat.
- Yang sama penting, sistem kewangan negara dan pasaran saham terus berfungsi dengan baik dan teratur. Sehingga kini, tiada gangguan kepada pengantaraan kewangan, dan aktiviti pinjaman kekal lancar. Aktiviti perniagaan juga terus mendapat akses kepada pembiayaan kewangan daripada institusi perbankan dan pasaran modal. Pasaran saham pula terus menunjukkan aliran masuk bersih berjumlah RM6.7 bilion dari pelabur asing, dan RM2.3 bilion dari pelabur runcit.
- Polisi atau dasar pertukaran Ringgit yang fleksibel dan dinamik oleh Bank Negara, rizab antarabangsa yang mencukupi dan kukuh, pasaran saham yang merangkumi pelbagai sektor, sistem perbankan yang teguh serta pelabur institusi tempatan yang kukuh, akan terus meningkatkan daya tahan Malaysia untuk menampan sebarang pengeluaran aliran modal dari negara serta menyerap sebarang kejutan luar.
- Melangkah kehadapan, Kerajaan komited dalam memastikan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia dilindungi, tidak kira isi rumah, individu, mahupun perniagaan. Dan kesemua ini telahpun bermula dengan perancangan Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober.
- Bajet 2023 juga akan terus mengutamakan agenda pembaharuan struktur bagi mengekalkan momentum pemulihan ekonomi pasca COVID-19, memastikan kesejahteraan rakyat dan memperkukuhkan daya tahan rakyat dan perniagaan terhadap sebarang kejutan pada masa depan, terutamanya cabaran ketidaktentuan geopolitik dan perubahan iklim yang serius dan berterusan.
- Kesimpulannya:
- Pertama, kita bukan di dalam keadaan krisis kewangan atau ekonomi, seperti mana pada tahun 1998, 2009, dan terkini, pada tahun 2020. Di waktu itu, KDNK masing-masing menyusut sebanyak -7.4% (1998), -1.5% (2009) dan -5.5% (2020). Tahun ini, Kerajaan yakin KDNK akan terus tumbuh lebih baik berbanding unjuran asal 5.3% hingga 6.3%. Keyakinan yang sama turut dikongsi oleh Bank Dunia yang telah menaikkan unjuran KDNK Malaysia tahun ini dari 5.5% kepada 6.4%.
- Kedua, langkah-langkah proaktif Kerajaan yang telah diumumkan seperti peruntukan subsidi hampir RM80 bilion termasuklah kawalan harga bagi pelbagai barangan asas akan terus melindungi rakyat daripada impak kenaikan harga yang didorong oleh faktor luaran yang di luar kawalan Kerajaan..
- Ketiga, sejak pandemik bermula, Kerajaan giat melaksanakan pembaharuan struktur bagi memastikan pembangunan yang lebih seimbang, lestari dan saksama, seperti penambahbaikan jaringan keselamatan sosial, menangani isu pengangguran di kalangan belia, memastikan sekuriti makanan dan nutrisi, serta memudahcara pelbagai sektor ekonomi untuk beralih ke arah digitalisasi.
- Keempat, Kerajaan akan meneruskan projek-projek mesra rakyat dengan nilai pengganda yang tinggi seperti penambahbaikan perumahan rakyat, tebatan banjir, infrastruktur sumber air, elektrik, internet dan 5G, serta pengangkutan awam seperti MRT3 dan Lebuhraya Pan Borneo.
- Menangani impak ketidaktentuan ekonomi dunia memerlukan kerjasama antara semua pihak, tidak kira sama ada antara negara, ahli politik, akar umbi, golongan professional mahupun penjawat awam. Para penggubal dasar perlu menyedari hakikat bahawa dalam dunia yang saling terkait, keputusan sesetengah negara mampu memberi impak besar kepada negara lain.
- Dalam mendepani cengkaman inflasi yang melanda dunia, keputusan dasar monetari oleh beberapa kuasa besar telah menjejaskan kedudukan negara-negara membangun, dan Malaysia tidak terkecuali daripada kesan tersebut.
- Saya percaya kerjasama dan penyelarasan monetari antara negara perlu dipertingkatkan, bagi mencapai matlamat kesejahteraan ekonomi yang lebih adil untuk semua. Penubuhan Mekanisme Kerjasama Monetari Antarabangsa perlu dipertimbangkan untuk memastikan sistem kewangan yang lebih efektif, saksama, serta mampu mengimbangi keperluan pembangunan sejagat.
- Salah satu contoh kerjasama yang pernah dilaksanakan di peringkat dunia untuk menangani ketidak tentuan pasaran mata wang antarabangsa adalah Perjanjian Plaza, atau Plaza Accord pada tahun 1985 yang bertujuan untuk menyusutkan nilai Dolar AS terhadap Yen Jepun dan Mark Jerman, melalui campur tangan di pasaran mata wang antarabangsa. Ini disusuli oleh Perjanjian Louvre pada tahun 1987 yang bertujuan untuk menstabilkan pasaran mata wang antarabangsa, dan menghentikan penurunan berterusan Dolar AS berikutan Plaza Accord. Selain itu, kerjasama lain yang pernah dilaksanakan di peringkat dunia adalah semasa Krisis Kewangan Global tahun 2008 di mana bank pusat di negara-negara maju telah bekerjasama untuk mengelak krisis kewangan dari merebak ke serata dunia.
- Institusi multilateral seperti IMF, Bank Dunia, Bank Penyelesaian Antarabangsa (Bank for International Settlement, BIS) dan Pertubuhan Suruhanjaya Sekuriti Antarabangsa (The International Organization of Securities Commissions, IOSCO) juga perlu lebih proaktif dalam membantu negara membangun seperti Malaysia dan lain-lain di rantau ini. Negara kuasa besar dunia perlu menggalas tanggungjawab dengan apa-apa keputusan dasar mereka. Sudah pastinya saya akan menyuarakan perkara ini di Mesyuarat Musim Luruh Bank Dunia dan IMF yang akan bersidang pada pertengahan Oktober kelak.
- Akhir kata, walau apapun badai yang menimpa, saya yakin jika seluruh Keluarga Malaysia bersatu hati dan berganding bahu, kita akan dapat mengharungi segala cabaran ini bersama.
YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
1 Oktober 2022