Asas ekonomi yang kukuh serta komitmen Kerajaan terhadap pembaharuan institusi meyakinkan Moody’s bahawa Malaysia layak menerima penarafan kredit berdaulat yang tinggi pada paras A3 dengan unjuran stabil.
Agensi penarafan kredit antarabangsa tersebut dalam laporan analisis kredit tahunannya pada 16 Januari 2020 menyatakan bahawa daya saing tinggi, prospek pertumbuhan jangka masa sederhana yang baik dan institusi yang berkesan adalah antara faktor-faktor yang membantu Malaysia mengekalkan penarafan kredit berdaulatnya pada tahap A3 dengan unjuran stabil. Ini adalah pencapaian yang baik apabila dibandingkan dengan penurunan penarafan berdaulat yang dialami oleh beberapa negara lain.
Kekuatan ekonomi Malaysia adalah tinggi berbanding dengan median bagi negara bertaraf A, terutama sekali dari segi purata pertumbuhan KDNK. Ekonomi Malaysia yang berdaya saing, kompleks dan pelbagai menyumbang kepada daya tahan Malaysia dalam menghadapi ketidaktentuan dunia yang timbul akibat perang perdagangan China-AS. Berserta dengan institusi yang sihat seperti yang diukur oleh Bank Dunia melalui Worldwide Governance Indicators (WGI), faktor-faktor ini menyediakan asas yang kukuh bagi Malaysia untuk membangun dalam jangka masa panjang.
Penunjuk ekonomi bertambah baik
Beberapa data ekonomi terbaharu menunjukkan bahawa ekonomi negara akan tumbuh dengan lebih pesat dalam beberapa bulan yang akan datang. Seperti yang telah diketengahkan sebelum ini, Indeks Pengurus Pembelian sektor pembuatan bagi bulan Disember 2019 telah naik ke paras tertinggi dalam tempoh 15 bulan dan ia mengisyaratkan bahawa pengembangan sektor pembuatan lebih pesat dalam masa terdekat. Indeks Keyakinan Perniagaan RAM berada pada paras yang kukuh, dengan sentimen di kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi separuh pertama 2020 mencapai 54.2 mata, iaitu paras tertinggi sejak indeks tersebut mula diterbitkan pada tahun 2017. Indeks Pelopor bagi bulan Oktober 2019 terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia pula telah meningkat sebanyak 1.4% kepada 120.3 mata dan ini menggambarkan peningkatan aktiviti ekonomi dalam suku yang mendatang.
Antara statistik lain termasuklah kenaikan indeks pengeluaran perindustrian sebanyak 2.0% pada bulan November 2019 berbanding 0.3% dalam bulan Oktober, peningkatan nilai jualan borong dan runcit sebanyak 5.3% pada bulan November 2019 berbanding 5.0% untuk bulan sebelumnya, dan kadar pengangguran yang rendah pada 3.2% pada bulan November 2019.
Inflasi kekal rendah dan stabil pada 1.0% pada bulan Disember 2019. Bagi seluruh tahun 2019, kadar inflasi adalah hanya 0.7% dan ini merupakan antara bacaan yang terendah di rantau ini. Kadar inflasi yang rendah ini jelas menunjukkan bahawa pemansuhan GST serta pengenaan harga siling RM2.08 per liter ke atas petrol RON95 telah berjaya mengawal kenaikan harga, berbanding pelaksanaan GST yang sebelum ini telah mengakibatkan inflasi naik setinggi hampir 5%.
Malaysia akan mendapat manfaat daripada perjanjian perdagangan Amerika Syarikat-China
Prospek ekonomi Malaysia akan bertambah cerah dengan termeterainya perjanjian perdagangan antara Amerika Syarikat dan China. Malaysia merupakan sebuah ekonomi terbuka yang berkait rapat dengan rantaian bekalan dunia. Sebarang peningkatan jumlah perdagangan dunia akan menaikkan permintaan untuk eksport Malaysia, dan seterusnya membantu meningkatkan pertumbuhan KDNK negara.
Kerajaan mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang secara mampan pada 4.8% pada tahun 2020, iaitu lebih tinggi berbanding pertumbuhan 4.7% yang dijangkakan untuk tahun lepas.
Sayangi Malaysiaku!
Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan
Putrajaya
22 Januari 2020