Kementerian Kewangan (MOF), diketuai YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan, berkesempatan mengadakan sesi jelajah negeri Bajet 2023 ke Pulau Pinang baru-baru ini untuk mendapat pandangan dan cadangan dari Kerajaan Negeri, pihak industri, akar umbi dan dalam usaha Kerajaan Persekutuan merangka sebuah bajet tahunan yang memenuhi keperluan rakyat, serta memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.
YB Menteri Kewangan dan YAB Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang telah bersama-sama mempengerusikan sesi dialog bersama lebih 20 pemain industri peranti perubatan. Daripada 30 pemain industri peranti perubatan terbesar di dunia, 10 beroperasi di Malaysia, termasuk di Pulau Pinang. Pada tahun 2021, sebanyak RM7.7 bilion jumlah pelaburan telah ditarik oleh sektor ini, merangkumi beberapa syarikat yang telah beroperasi di Bayan Lepas selama sehingga 50 tahun, dan syarikat yang sedang dalam proses membina kilang baharu di Batu Kawan, Pulau Pinang.
“Kejayaan syarikat peranti perubatan yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara tidak perlu diragukan lagi. Sehubungan itu, melalui Bajet 2023, Kementerian Kewangan komited untuk terus menyokong sektor peranti perubatan sebagai salah satu sektor pertumbuhan utama, mengambil kira sumbangannya mencipta 39,000 peluang pekerjaan dari 2017 sehingga 2021 dan menyumbang eksport RM41.3 bilion pada tahun 2021,” ulas YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul.
YB Menteri Kewangan juga berkesempatan mengadakan sesi libat urus dengan beberapa syarikat teknologi pertumbuhan tinggi (start-ups). Usaha ini juga selaras dengan penubuhan Kertas Konsultasi Awam terkini mengenai untuk Bajet 2023 bertajuk “Dasar Penggunaan Barangan, Perkhidmatan dan Teknologi Hasil Penyelidikan Dan Pembangunan (R&D) Tempatan Dalam Perolehan Kerajaan” yang bertujuan melindungi dan membangunkan keupayaan syarikat teknologi tempatan melalui penambahbaikan ekosistem pemindahan teknologi, pengkomersialan dan pemasaran hasil R&D tempatan. Maklumbalas kepada KKA tersebut boleh dikongsi melalui pautan https://budget.mof.gov.my/bajet2023/kertaskonsultasi/ sehingga 15 September 2022.
Dari segi pembangunan mampan yang juga akan menjadi satu aspek tumpuan di dalam Bajet 2023, YB Menteri Kewangan juga telah berkesempatan berdialog dengan pengasas dan pihak pengurusan The Habitat di Bukit Bendera bagi mendapatkan status terkini program ‘UNESCO Man & the Biosphere Reserve’, salah satu penerima peruntukan di bawah Bajet 2022. Dengan peruntukan tersebut, ianya telah berjaya menambahbaik usaha untuk menerapkan konsep ekonomi kitaran (circular economy) sebagai asas kepada pembangunan eko-pelancongan lestari (sustainable ecotourism) di Malaysia. Sokongan kepada industri eko-pelancongan merupakan strategi serampang dua mata untuk memelihara khazanah alam semulajadi negara dan pada masa yang sama, menyasarkan pelancong bernilai tinggi.
Sesi jelajah Bajet 2023 ke Pulau Pinang telah melengkapkan jelajah ke semua negeri. Selain itu penerbitan enam (6) Kertas Konsultasi Awam (KKA) juga menyumbang kepada penggubalan Bajet 2023 yang lebih terangkum dan mengambil kira maklumbalas pelbagai pihak demi kesejahteraan rakyat dan negara.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
6 September 2022