Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Baucar Perlindungan Tenang 3.0 Tawar Perlindungan Insurans Dan Takaful Mampu Milik Kepada Penerima STR

  Baucar Perlindungan Tenang 3.0 Tawar Perlindungan  Insurans Dan Takaful Mampu Milik  Kepada Penerima STR

Mulai 1 September 2025, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) boleh menebus baucar bernilai RM30, yang disubsidi oleh Kerajaan MADANI, bagi membantu membiayai sebahagian kos produk insurans dan takaful mampu milik yang mempunyai jumlah premium atau sumbangan tahunan sekurang-kurangnya RM50, di bawah program Baucar Perlindungan Tenang 3.0 (PTV3.0).

Dengan kerjasama industri insurans dan takaful, Kerajaan MADANI telah memperuntukkan RM60 juta di bawah Belanjawan 2025 untuk menampung kos produk perlindungan di bawah PTV3.0, bagi memastikan akses yang lebih meluas kepada isi rumah berpendapatan rendah. Usaha ini melengkapi inisiatif lain seperti Skim Perubatan MADANI dan PeKa B40, bagi memperkukuh jaring keselamatan sosial menerusi kerjasama awam–swasta yang bersasar.

“PTV3.0 mencerminkan iltizam Kerajaan MADANI untuk menggapai hasrat meningkatkan taraf hidup rakyat seperti termaktub dalam kerangka Ekonomi MADANI. Sesungguhnya, sesebuah negara hanya boleh bangkit bersama apabila setiap isi rumah mendapat perlindungan sewajarnya. Hatta, inisiatif ini adalah untuk mengembalikan maruah dan membina ketahanan segenap lapisan masyarakat,” kata YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

“Melalui PTV3.0, Kerajaan MADANI tekad untuk memperluas akses kepada semua. Seyogia, keterjaminan kesihatan dan keselamatan bukanlah kemewahan yang boleh dirasai oleh sesetengah kelompok sahaja,” tambah beliau.

Selaras pendekatan Kerajaan MADANI untuk menyalurkan bantuan yang bersasar dan saksama, Kementerian Kewangan (MoF) akan melaksanakan protokol pengesahan identiti dalam PTV3.0 bagi memastikan permohonan yang sahih dan menepati kelayakan.

Penerima STR boleh menyemak kelayakan dan merujuk Soalan Lazim PTV3.0 di www.myptv.my, atau mengunjungi mana-mana ejen, pengedar, atau premis penyedia yang mengambil bahagian. Senarai penuh produk yang layak boleh didapati di www.mycoverage.my.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
2 September 2025

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility