Pihak Kerajaan peka dengan kesukaran yang dialami oleh Rakyat pada saat pandemik COVID-19 ini. Sehubungan itu, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 merupakan sebahagian daripada Kerangka Inisiatif Tambahan, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (KITA PRIHATIN) bernilai RM10 bilion yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 23 September 2020 lalu.
Inisiatif BPN 2.0 tersebut yang keseluruhannya berjumlah RM7.0 bilion akan disalurkan melalui dua fasa pembayaran, iaitu pada bulan Oktober 2020 dan Januari 2021. Bagi mereka yang belum pernah menerima BPN sebelum ini, permohonan baharu boleh dibuat mulai 15 Oktober 2020.
1) PEMBAYARAN FASA PERTAMA BPN 2.0
Bayaran fasa pertama BPN 2.0 akan disalurkan kepada 10.6 juta penerima BPN sedia ada daripada kategori isi rumah dan individu bujang secara berperingkat mulai 26 Oktober 2020 (Isnin).Pecahan bayaran fasa pertama BPN 2.0 berjumlah RM4.8 bilion adalah seperti berikut:
| Kategori & Pendapatan Bulanan | B40 Isi Rumah RM4,000 ke bawah |
B40 Bujang RM2,000 ke bawah |
M40 Isi Rumah RM4,001 hingga RM8,000 |
M40 Bujang RM2,001 hingga RM4,000 |
Jumlah Keseluruhan Fasa 1 |
|---|---|---|---|---|---|
| Jumlah Pembayaran | RM2.56 bilion | RM1.33 bilion | RM0.56 bilion | RM0.35 bilion | RM4.8 bilion |
| Jumlah Penerima | 3.7 juta | 3.8 juta | 1.4 juta | 1.7 juta | 10.6 juta |
2) PERMOHONAN BAHARU BPN 2.0
Permohonan baru BPN 2.0 dibuka mulai 15 Oktober sehingga 15 November 2020, bagi membantu kumpulan mereka yang belum pernah menerima BPN sebelum ini, termasuk golongan mudah terjejas baharu (newly vulnerable groups) yang layak memohon akibat perubahan terhadap status pendapatan mereka ekoran impak penularan COVID-19.
Tempoh permohonan baharu BPN 2.0 dibuka dari 15 Oktober 2020 sehingga 15 November 2020. Bagi memastikan BPN sampai kepada mereka yang benar-benar layak, proses semakan atas permohonan baharu akan dibuat dalam kadar segera. Bagi mereka yang diluluskan, bayaran akan dibuat secara sekaligus pada bulan Januari 2021.
Pemohon baharu BPN 2.0 boleh merujuk kepada Soalan Lazim (FAQ) yang telah dimuat naik di portal rasmi BPN iaitu https://bpn.hasil.gov.my/ bagi mendapatkan maklumat lanjut atau untuk membuat permohonan.
Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, terutamanya Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) dalam membolehkan penyampaian BPN 2.0 ini dilaksanakan dengan lancar untuk kemudahan rakyat.
Saya juga ingin menasihati rakyat agar berhati-hati dengan scammers yang semakin berani mengambil peluang menipu orang awam yang memerlukan bantuan BPN 2.0 ini. Penerima disarankan untuk merujuk kepada sumber-sumber rasmi dan tidak memberikan maklumat peribadi kepada mana-mana pihak yang tidak dikenali.
YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
16 Oktober 2020
Lampiran
BPN 2.0 akan diberikan kepada penerima BPN sedia ada yang layak mengikut jadual berikut:
| Kategori & Pendapatan Bulanan | B40 | M40 | ||
|---|---|---|---|---|
| Isi Rumah RM4,000 ke bawah | Bujang RM2,000 ke bawah | Isi Rumah RM4,001 hingga RM8,000 | Bujang RM2,001 hingga RM4,000 | |
| Jumlah Bantuan BPN 2.0 | RM1,000 | RM500 | RM600 | RM300 |
| Fasa Pembayaran | Okt. 2020 : RM700 Jan. 2021 : RM300 |
Okt. 2020 : RM350 Jan. 2021 : RM150 |
Okt. 2020 : RM400 Jan. 2021 : RM200 |
Okt. 2020 : RM200 Jan. 2021 : RM100 |
| Tempoh Pembayaran | Secara Berperingkat Mulai 26 Oktober 2020 | |||
| Kaedah Pembayaran | Bayaran akan dibuat secara terus ke akaun bank berdaftar di bawah pangkalan data BPN | |||
Bagi penerima BPN yang tidak mempunyai akaun bank, pembayaran akan dibuat secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 26 Oktober 2020 sehingga 31 Disember 2020. Penerima BPN di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang mempunyai akaun bank akan turut menerima pembayaran ini pada tempoh yang sama seperti di Semenanjung Malaysia, manakala penerima pedalaman Sabah dan Sarawak yang tiada akaun bank, BPN 2.0 akan dibayar sekaligus bermula bulan Januari 2021 dengan bayaran tunai dibuat di lokasi-lokasi yang bakal diumumkan kelak.