Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Bayaran BKM Fasa 2 RM1.74 Bilion Mulai 27 Jun 2022: Bantuan Tunai Mencecah RM8.0 Bilion Bagi 2022 Tertinggi Dalam Sejarah, Memanfaatkan 12.6 Juta Individu, Bersamaan 60% Populasi Dewasa Malaysia

Bayaran BKM Fasa 2 RM1.74 Bilion Mulai 27 Jun 2022: Bantuan Tunai Mencecah RM8.0 Bilion Bagi 2022 Tertinggi Dalam Sejarah, Memanfaatkan 12.6 Juta Individu, Bersamaan 60% Populasi Dewasa Malaysia

Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) merupakan inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan di dalam Bajet 2022 bagi membantu mereka yang memerlukan untuk bangun semula pasca-pandemik dan meringankan beban kos sara hidup. Setakat ini, 8.6 juta penerima BKM telah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,600 sekeluarga pada tahun 2022.

Seperti mana diumumkan YAB Perdana Menteri baru-baru ini, BKM Fasa 2 telah ditambah baik dengan bantuan tunai tambahan bernilai RM630 juta, dengan jumlah peruntukan keseluruhan BKM sebanyak RM8.0 bilion.

BKM Fasa 2 dengan peruntukan sebanyak RM1.74 bilion akan memanfaatkan 4.0 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang. Setiap penerima yang layak akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 27 Jun 2022 (Isnin). Semakan status pembayaran boleh dibuat mulai 27 Jun 2022 juga melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.

BKM merupakan bantuan tunai langsung tertinggi dalam sejarah berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Bantuan Sara Hidup (BSH). Sebagai perbandingan, kadar maksimum BKM adalah RM2,600 berbanding BR1M (RM1,200) dan BSH (RM1,480). Ini adalah peningkatan bantuan sebanyak 120% sejak inisiatif bantuan tunai langsung mula diperkenalkan.

Di samping itu, jumlah penerima BKM adalah 8.6 juta berbanding BSH dengan 4.5 juta penerima sahaja. Peningkatan ini adalah kerana had kelayakan untuk menerima BKM telah dinaikkan daripada berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan untuk BSH kepada RM5,000 ke bawah sebulan untuk BKM. Ini bermakna lebih ramai Keluarga Malaysia layak untuk menerima bantuan, termasuklah sebahagian M40 dan bukan terhad kepada golongan B40 sahaja seperti untuk inisiatif bantuan tunai langsung sebelum ini. Lazimnya, BKM dikenali sebagai bantuan kepada golongan B40, namun hakikatnya BKM kini memanfaatkan 12.6 jutaindividu, iaitu bersamaan dengan 60 peratus daripada rakyat dewasa di Malaysia.

  BR1M (2017) BSH (2019) BKM (2022)
Peruntukan  RM6.3 bilion RM5 bilion RM8.0 bilion
 Bilangan Penerima    7.2 juta  4.5 juta 8.6 juta
Kadar Bantuan Maksimum RM1,200 RM1,480  RM2,600*
Kelayakan Pendapatan Isirumah <RM4,000 sebulan <RM4,000 sebulan <RM5,000 sebulan
*Mengambilkira bantuan tunai tambahan sehingga RM100 melalui BKM Fasa 2

Kementerian Kewangan akan terus memantau faktor-faktor luaran yang boleh memberi impak negatif kepada situasi ekonomi domestik bagi memastikan kos sara hidup rakyat terkawal, Kerajaan juga sentiasa memantau situasi semasa dan yakinlah bahawa dasar Kerajaan, baik dari segi bantuan langsung mahupun yang tidak langsung seperti subsidi keperluan asas, adalah bertujuan memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.


YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz
Menteri Kewangan
27 Jun 2022

 

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility