Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Belanjawan 2024 Mengambil Pendekatan Menyeluruh Dalam Memastikan Pandangan Masyarakat Dan Industri

Belanjawan 2024 Mengambil Pendekatan Menyeluruh Dalam Memastikan Pandangan Masyarakat Dan Industri

JOHOR BAHRU – Jelajah Belanjawan 2024 bagi peringkat Negeri Johor yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, telah menekankan supaya semua Kementerian akan dikerah untuk mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan masing-masing bagi memastikan Belanjawan 2024 yang menyeluruh dan selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI.

“Kita akan melaksanakan libat urus Belanjawan 2024 di semua negeri dan saya telah arahkan semua kementerian Kerajaan Perpaduan untuk mengadakan libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan bagi mendengar cadangan dan pandangan mereka menjayakan Belanjawan MADANI kedua,” tambah Dato’ Seri Anwar.

Beliau turut memberi komitmen bahawa Kerajaan akan memastikan tatakelola yang baik serta mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam bagi memudahcarakan perniagaan (ease of doing business) dan merealisasikan pelaburan yang berkualiti ke Malaysia. Juga dalam ucapan Jelajah Belanjawan 2024 peringkat Negeri Johor.

YAB Dato’ Seri Anwar mengumumkan komitmen Kerajaan untuk menambah aktiviti yang berkaitan bagi menyokong pembangunan zon kewangan khas di Forest City sebagai pelengkap kepada aktiviti pelaburan bernilai tinggi di Iskandar Malaysia. Kemudahan yang akan ditawarkan kepada syarikat dan individu yang layak antaranya pemberian insentif cukai berkadar khas, pemberian kadar cukai 15 peratus kepada pekerja berpengetahuan dan kemudahan laluan pantas di imigresen untuk memudah cara kemasukan golongan berkepakaran dari luar negara.

Sehubungan itu, selaras dengan pendekatan Kerajaan Perpaduan yang menitikberatkan budaya musyawarah, yakni perbincangan dan perundingan, kerajaan amat mengalu-alukan cadangan komuniti perniagaan tempatan untuk memperkasakan lagi ekosistem ekonomi setiap negeri.

“Jelajah Belanjawan 2024 memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk mendapatkan buah fikir dan pandangan daripada segenap lapisan masyarakat agar Belanjawan 2024 mencerminkan denyut nadi dan aspirasi rakyat,” tambah YAB Dato’ Seri Anwar.

Turut hadir ialah YAB Datuk Onn Hafiz Dato’ Ghazi, Menteri Besar Johor; YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan I; YB Dato’ Salehuddin Haji Hassan, Pegawai Kewangan Negeri Johor dan Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) sedang giat melaksanakan Program Jelajah Belanjawan 2024 Peringkat Negeri sebagai persiapan bagi penyediaan Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada 13 Oktober 2023.

Jelajah Belanjawan 2024 akan melibatkan semua negeri termasuk sesi libat urus dengan sektor-sektor industri utama, NGO dan masyarakat setempat. Program jelajah ini dijangka berakhir pada 22 September 2023. Selain Program Jelajah Peringkat Negeri, MOF turut menganjurkan beberapa siri perbincangan bersama-sama pelbagai pihak berkepentingan seperti penjawat awam, swasta, teknokrat, NGO, persatuan, ahli akademik serta rakyat bagi memastikan penyediaan Belanjawan yang menyeluruh dan memenuhi hasrat segenap lapisan masyarakat dan entiti di Malaysia.

Mereka yang ingin memberikan cadangan Belanjawan 2024, boleh berbuat demikian sebelum 14 September 2023 melalui portal rasmi cadangan Belanjawan 2024 di https://belanjawan.mof.gov.my/ms/cadangan2024/.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
25 Ogos 2023

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility