Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Berkenaan Penstrukturan Semula Plus Malaysia Berhad

Berkenaan Penstrukturan Semula Plus Malaysia Berhad

Jemaah Menteri pada 22 Januari 2020 telah mengesahkan keputusan Kerajaan untuk menstruktur semula PLUS Malaysia Berhad (PLUS) berdasarkan cadangan yang dikemukakan oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Jemaah Menteri semalam juga telah mengarahkan supaya satu mesyuarat tergempar diadakan antara semua pemegang taruh pada hari yang sama selepas Mesyuarat Jemaah Menteri untuk memastikan keputusan Kerajaan mengenai penstrukturan semula PLUS dapat dilaksanakan secara lancar dan baik mengikut garisan masa yang ditetapkan. Mesyuarat pelaksanaan tersebut dipengerusikan oleh YB Menteri Kewangan pada 22 Januari 2020 dan turut dihadiri oleh YB Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi dan Multimedia, YBhg. Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, YBhg. Datuk Badrul Hisham bin Mohd, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Ir. Mohd Shuhaimi bin Hassan, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, YBhg. Datuk Shahril Ridza Ridzuan, Pengarah Urusan Khazanah, YM Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, serta pegawai-pegawai dari Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya, Khazanah dan KWSP.

Mesyuarat tersebut telah mengesahkan tarikh pelaksanaan penurunan kadar tol bermula pada 1 Februari 2020 seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir bin Mohamad. Diskaun kadar tol sebanyak 18% akan diberikan kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi (iaitu kelas 1, 4 dan 5 bagi Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya UtaraSelatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE) serta kenderaan kelas 2, 3, 4 dan 5 bagi Jambatan Pulau Pinang). Kadar tol untuk kelas kenderaan komersial akan terus kekal pada kadar tol semasa tanpa peningkatan sehingga tamat konsesi tol.

Melalui penurunan kadar tol sebanyak 18% tersebut, semua pihak yang terlibat akan mendapatkan jumlah penjimatan sehingga RM1.1 bilion secara langsung untuk tahun 2020. Ini adalah termasuk penjimatan sebanyak RM0.5 bilion daripada diskaun 18% dan juga penjimatan RM0.6 bilion daripada bayaran pampasan Kerajaan untuk membekukan kenaikan kadar tol. Bayaran pampasan sebanyak RM0.6 bilion ini tidak lagi digunakan untuk manfaat pengguna lebuh raya dan syarikat konsesi, dan sebaliknya ia boleh disalurkan kepada projek-projek kebajikan dan pembangunan ekonomi di seluruh negara.

Sayangi Malaysiaku!


Lim Guan Eng
Menteri Kewangan

Kementerian Kewangan 
Putrajaya
23 Januari 2020

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility