Pilih bahasa anda
Susulan pengumuman pembaharuan penyasaran subsidi diesel oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Kerajaan MADANI hari ini mengesahkan pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel), sekali gus menyeragamkan pelaksanaan subsidi diesel di seluruh negara, harga runcit dan harga bersubsidi diesel serta kaedah subsidi mulai 1 Julai 2026.
“Selaras dengan prinsip penyasaran subsidi Kerajaan MADANI, golongan bukan warganegara tidak patut menikmati subsidi. Dengan itu, mulai 1 Julai 2026, harga runcit diesel seluruh negara akan ditetapkan pada paras tanpa subsidi. Sebahagian penjimatan daripada langkah tersebut digunakan untuk manfaat rakyat, termasuk dengan mengurangkan harga bersubsidi diesel kepada RM2.10 seliter untuk rakyat yang menggunakan kenderaan diesel,” kata YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II.
Sesi taklimat media hari ini diterajui oleh YB Datuk Seri Amir Hamzah, bersama dengan YB Datuk Armizan bin Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan turut dihadiri wakil daripada Kementerian Pengangkutan.
“Pembaharuan penyasaran subsidi diesel ini berhasrat menyelaraskan mekanisme subsidi diesel di seluruh negara melalui satu sistem yang seragam, telus dan mudah digunakan. Berikutan keberkesanan BUDI95 yang terbukti, kaedah menggunakan MyKad bagi penyasaran subsidi untuk warganegara dilanjutkan kepada subsidi diesel,” tambah YB Datuk Seri Amir Hamzah.
Seramai 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian akan menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter melalui penggunaan MyKad di bawah mekanisme BUDI Diesel di semua stesen minyak di Malaysia.
Di samping itu, SKDS (Skim Kawalan Diesel Bersubsidi) turut diperluaskan ke negeri Sabah dan Sarawak untuk membolehkan sekitar 70,000 kenderaan komersial yang layak terutamanya kenderaan pengangkutan barangan pengguna untuk menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter melalui penggunaan fleet card syarikat minyak.
BUDI Diesel merupakan kesinambungan usaha Kerajaan MADANI untuk memastikan manfaat subsidi diesel terus dinikmati oleh rakyat secara lebih bersasar, di samping mengurangkan ketirisan, penyalahgunaan dan aktiviti penyeludupan yang membebankan kewangan negara.
“Penurunan harga diesel bersubsidi adalah salah satu cara bagaimana penjimatan ini disalurkan semula kepada rakyat, begitu juga dengan inisiatif seperti bantuan Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah yang ditingkatkan untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup terhadap golongan yang benar-benar memerlukan,” kata YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah.
Integrasi dengan BUDI MADANI RON95
BUDI Diesel akan disepadukan dengan BUDI MADANI RON95 (BUDI95), dengan MyKad digunakan sebagai alat pengesahan kelayakan subsidi. Pembayaran pembelian bahan api boleh dibuat seperti biasa menggunakan kaedah pembayaran yang tersedia di stesen minyak seperti tunai, kad kredit, kad debit dan e-dompet terpilih.
Bagi penerima sedia ada BUDI Diesel Individu, bantuan tunai bulanan RM400 akan digantikan dengan subsidi diesel secara langsung melalui pengesahan MyKad di stesen minyak. Penerima sedia ada akan dipindahkan ke mekanisme baharu ini secara automatik tanpa perlu mengemukakan permohonan tambahan.
Sebagai persediaan pelaksanaan penuh pada 1 Julai 2026, akses awal BUDI Diesel akan dibuka mulai 27 Jun 2026 kepada pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia.
Had Kelayakan dan Fleksibiliti Penggunaan
Di bawah mekanisme ini, setiap individu yang layak akan menerima had kelayakan asas sehingga 200 liter sebulan. Had kelayakan ini boleh digunakan secara fleksibel mengikut keperluan sebenar penerima bagi pembelian diesel bersubsidi atau RON95 bersubsidi, tertakluk kepada baki kelayakan bulanan masing-masing.
Pendekatan ini memastikan subsidi diberikan kepada penerima yang layak berdasarkan penggunaan sebenar mereka, tanpa mengira sama ada bahan api yang digunakan ialah diesel atau RON95. Ia juga memberi fleksibiliti kepada penerima untuk mengurus penggunaan bahan api mereka mengikut keperluan bulanan masing-masing.
Berdasarkan data perangkaan, hampir 90% pemandu di Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter bahan api sebulan. Justeru, had kelayakan asas sebanyak 200 liter ini dijangka mencukupi bagi kebanyakan penerima yang layak.
Bagi pemilik persendirian kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak, tambahan 100 liter sebulan boleh dipohon, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan bagi kategori tersebut. Ini dijangka mencukupi kerana dianggarkan 95% pengguna diesel mengguna kurang daripada 300 liter sebulan. Kemudahan tambahan kelayakan ini disediakan untuk membantu keperluan tambahan terutamanya golongan peniaga PMKS dan juga mereka yang berulang-alik dari kawasan pedalaman.
Selain pemilik kenderaan diesel persendirian, kemudahan BUDI Diesel untuk membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter melalui penggunaan MyKad turut dipanjangkan kepada golongan seperti pengusaha bot sungai dan pemilik genset di kawasan pedalaman. Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan bekerjasama erat dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak untuk memastikan keterangkuman liputan diesel bersubsidi untuk rakyat.
Subsidi bagi Sektor Strategik dan Kritikal Dikekalkan Pada masa yang sama, mekanisme subsidi diesel sedia ada bagi sektor strategik dan kritikal akan terus dikekalkan. Ini termasuk:
Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan BUDI Diesel secara rapi dan mengumumkan sebarang penambahbaikan dari semasa ke semasa agar peralihan ini berjalan lancar, teratur dan tidak menjejaskan akses rakyat Malaysia yang layak kepada diesel bersubsidi.
Pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak status kelayakan dan had kelayakan bulanan secara dalam talian melalui portal rasmi BUDI MADANI di www.budimadani.gov.my bermula hari ini (22 Jun 2026). Pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak juga boleh membuat permohonan tambahan 100 liter sebulan melalui portal yang sama mulai hari ini. Permohonan juga boleh dibuat secara fizikal di pejabat LHDNM, termasuk di UTC.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
22 Jun 2026
↓ Muat turun: BUDI-MADANI-Diesel-22062026