Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

BUDI95 Pastikan Penyasaran Subsidi RON95 Manfaat Rakyat

BUDI95 Pastikan Penyasaran Subsidi RON95 Manfaat Rakyat

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, hari ini mengumumkan bahawa mulai 30 September 2025, Malaysia akan beralih kepada system subsidi bersasar petrol RON95 atau BUDI MADANI RON95 (BUDI95) untuk manfaat rakyat.

“Kerajaan MADANI telah mengotakan komitmennya untuk melaksanakan penyasaran subsidi RON95 dan mengurangkan harga petrol RON95 untuk rakyat Malaysia,” kata beliau.

Berbanding harga pam petrol RON95 semasa iaitu RM2.05 seliter, rakyat Malaysia dapat membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter mulai 30 September 2025. Bagi golongan yang tidak layak, seperti bukan warganegara, mereka akan membeli RON95 pada harga yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada tahap tanpa subsidi, dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.

“Semua warganegara, tanpa mengira tahap pendapatan, yang mempunyai lessen memandu aktif akan layak menikmati manfaat BUDI95 secara automatik. Inilah keistimewaan hanya untuk rakyat Malaysia,” kata YAB Dato’ Seri Anwar.

“Penjimatan daripada peralihan kepada BUDI95 ini akan diagihkan semula untuk manfaat rakyat seperti melalui bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Namun, tumpuan Kerajaan kekal kepada menambah baik perkhidmatan kesihatan, pendidikan, dan prasarana asas,” tambah beliau.

Semua rakyat layak menerima siling kelayakan bulanan RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan. Pemandu e-hailing diberi pengecualian daripada siling kelayakan tersebut dan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka.

Siling kelayakan bulanan ini telah ditetapkan berdasarkan dapatan kajian Jabatan Perangkaan, di mana lebih 99% pemandu kenderaan persendirian di Malaysia tidak melepasi jumlah ini.

Kerajaan telah mengambil langkah untuk memudahcarakan proses untuk rakyat memanfaatkan harga bersubsidi RON95, antaranya:

  • Pertama, tiada pendaftaran diperlukan;

  • Kedua, hanya satu langkah tambahan, iaitu pengesahan dengan MyKad untuk urusan membeli RON95 pada harga bersubsidi; dan

  • Ketiga, terminal pembaca MyKad disediakan di dalam kedai stesen minyak dan juga di terminal pam minyak bagi mengurangkan risiko kesesakan. Di samping itu, terdapat opsyen digital e-dompet TNG dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel oleh Petronas dan CaltexGo. 

Pelaksanaan program BUDI95 akan dijalankan secara berperingkat untuk memastikan kelancaran sistem tanpa lonjakan penggunaan yang mendadak:

  • Pada 27 September 2025 (Sabtu), sistem BUDI95 dibuka awal kepada 300 ribu anggota tentera dan polis;

  • Pada 28 September 2025 (Ahad), sistem BUDI95 dibuka awal kepada penerima STR yang merupakan golongan B40; dan

  • Pada 30 September 2025 (Selasa), sistem BUDI95 dibuka kepada 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif. 

Kerajaan MADANI menasihati rakyat agar memastikan cip MyKad berfungsi dan lessen memandu masih sah sebelum peralihan kepada BUDI95. Walau bagaimanapun, rakyat tidak perlu tergesa-gesa memperbaharui MyKad sekiranya mereka berjaya menebusbantuan SARA atau Penghargaan SARA, kerana itu membuktikan cip MyKad berfungsi.

Kementerian Kewangan (MOF) akan mengeluarkan maklumat lanjut berhubung BUDI95 dari semasa ke semasa. Orang ramai disaran untuk merujuk saluran rasmi MOF bagimendapatkan maklumat yang terkini dan sahih.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
22 September 2025

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility