Kementerian Kewangan Malaysia akan menganjurkan Festival Putrajaya LIFT (Literacy in Financial Technology) 2019 yang merupakan sebuah festival bermatlamatkan pemerkasaan kecelikan kewangan dan membina masyarakat digital Malaysia. Ini adalah sejajar dengan teras Belanjawan 2020 untuk memacu pertumbuhan ekonomi dalam ekonomi baharu dan era digital.
Pesta ini bukan sekadar meningkatkan kecelikan kewangan tetapi juga bertujuan untuk memperkasakan orang ramai dengan menyediakan maklumat terkini kewangan dan pembangunan teknologi baharu dalam ekonomi digital. Ini adalah bagi memastikan kebersediaan anak muda kini dan masa hadapan, dan juga para usahawan perniagaan kecil dengan mempersiapkan peluang ekonomi dan pekerjaan serta kesiap sagaan digital untuk masa depan
Penguasaan teknologi kewangan amat penting dalam dunia perniagaan sekarang, pertama sekali, bagi memastikan pengeluaran produk yang baik dan bermutu. Kedua, sebagai platform untuk pengusaha-pengusaha perniagaan mempelajari tentang pembungkusan produk atau ‘product packaging’ dalam usaha untuk menarik perhatian pelanggan. Ketiga, sebagai platform untuk menguruskan kewangan perniagaan dan memperdagangkan produk secara atas talian atau ‘online’ untuk mencari pelanggan dan menambahkan jualan produk
Festival Putrajaya LIFT ini merupakan kerjasama Kementerian Kewangan bersama Bank Negara Malaysia dan industri kewangan yang bakal mempamerkan tren teknologi kewangan dan digital yang sedia ada dan yang akan muncul di masa hadapan. Festival ini bertempat di tiga (3) lokasi strategik iaitu Menara Perkeso@Putrajaya, Bangunan Suasana PjH dan Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya yang akan berlangsung selama dua (2) hari bermula dari 28 hingga 29 Disember 2019. Festival ini dipersembahkan dalam konsep unik yang menyeronokkan dan interaktif dengan persembahan seni dan teknologi yang turut memberi gambaran kewangan masa hadapan. Di samping itu, festival ini turut memberikan inspirasi, serta maklumat relevan dan praktikal terhadap pemerkasaan kecelikan kewangan dalam dunia teknologi dan digital yang dinamik pada masa kini.
Pihak Kementerian Kewangan Malaysia juga ingin mengumumkan bahawa YAB Dato’ Seri Wan Azizah Dr. Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Malaysia akan melancarkan festival Putrajaya LIFT pada 28 Disember 2019, dan ia akan ditutup oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad pada 30 Disember 2019.
Kementerian Kewangan juga sekali lagi ingin merakamkan penghargaan kepada penaja dan rakan kolaborasi - Bank Negara Malaysia, Perkeso, Pengarah Festival. En Joe Sidek , Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. dan MRCB atas kerjasama, sokongan dan usaha padu yang diberi bagi menjayakan Festival Putrajaya LIFT 2019.
Untuk maklumat lanjut, layari www.putrajayalift.com
Sayangi Malaysiaku! 🇲🇾
Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
12 Disember 2019