Accessibility Tools
Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Geopolitik Dunia Meruncing, Dorong Kenaikan Harga Petrol Dan Diesel Tanpa Subsidi

Geopolitik Dunia Meruncing, Dorong Kenaikan  Harga Petrol Dan Diesel Tanpa Subsidi

Berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit produk petroleum tanpa subsidi meningkat bagi tempoh 20 Ogos hingga 26 Ogos 2026, seiring dengan kenaikan harga minyak mentah dunia. Harga runcit RON97 meningkat sebanyak 10 sen seliter, RON95 tanpa subsidi meningkat 15 sen seliter, manakala diesel tanpa subsidi meningkat 20 sen seliter.

Ketidakstabilan geopolitik dunia yang berlarutan terus meningkatkan risiko terhadap harga dan bekalan minyak mentah dunia.

Selepas 172 hari konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran, kekangan trafik di Selat Hormuz terus memberi kesan kepada bekalan minyak mentah dunia. Setakat ini, Amerika Syarikat dan Iran masih belum mencapai kata sepakat mengenai penyelesaian konflik tersebut.

Sementara itu, konflik Rusia-Ukraine turut menambah tekanan terhadap bekalan petroleum dunia. Dalam tempoh pengiraan APM, Ukraine telah menyerang sebuah loji penapisan minyak di Rusia, yang merupakan pengeluar minyak ketiga terbesar dunia.

Selagi konflik di Asia Barat belum mencapai penyelesaian muktamad dan aliran petroleum melalui Selat Hormuz belum kembali normal, harga produk petroleum dijangka terus mengalami turun naik ketara. Ketidaktentuan yang berpanjangan juga berisiko memberi kesan lebih mendalam terhadap bekalan produk petroleum di seluruh dunia.

Kerajaan MADANI bertekad untuk melindungi rakyat dan perniagaan daripada tempias keruncingan global ini sebaik mungkin.

Namun begitu, rakyat diseru agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat. Merancang perjalanan yang lebih cekap serta mengurangkan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu mengurangkan tekanan terhadap bekalan negara dan perbelanjaan subsidi.

Melalui sistem subsidi bersasar yang disediakan, Kerajaan MADANI terus melindungi pengguna yang layak daripada kenaikan harga pasaran. Bagi pengguna yang layak di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95), Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM1.78 seliter, sekitar 47% daripada harga RON95 tanpa subsidi semasa. Bagi pengguna yang layak di bawah BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pula, Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.57 seliter, atau 55% daripada harga diesel tanpa subsidi.

Penetapan harga runcit petrol dan diesel tanpa subsidi bagi tempoh 20 Ogos hingga 26 Ogos 2026 adalah seperti berikut:

Harga Runcit

Bahan Api  Harga Runcit Perubahan
RON97  RM4.25 seliter (harga 19 Ogos 2026: RM4.15 seliter) Naik 10 sen
RON95  RM3.77 seliter (harga 19 Ogos 2026: RM3.62 seliter) Naik 15 sen
Diesel  RM4.67 seliter (harga 19 Ogos 2026: RM4.47 seliter) Naik 20 sen

Harga petroleum bersubsidi yang dikekalkan adalah seperti berikut:

Bahan Api  Harga Subsidi
RON95 (BUDI95)  RM1.99 seliter
Diesel (BUDI Diesel)  RM2.10 seliter
Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS)  RM2.05 seliter
Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS)  RM2.15 seliter

Melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada kelayakan dan baki kelayakan bulanan masing-masing.

Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
19 Ogos 2026

↓ Muat Turun : Siaran-Media-Harga-Petroleum-19082026

Arkib Siaran Media