Pilih bahasa anda
Seperti yang diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, dalam Amanat Perdana Ambang Merdeka 2026, had kelayakan asas bulanan BUDI MADANI akan dinaikkan semula daripada 200 liter kepada 300 liter mulai 1 September 2026.
Pelarasan ini akan dilaksanakan secara automatik kepada penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel), tertakluk kepada kelayakan masing-masing.
Seramai 16 juta pengguna menikmati RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter. Daripada jumlah pengguna tersebut, lebih 700,000 pengguna layak untuk turut menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter.
Bagi lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel persendirian jenis pikap dan jip yang layak, mereka boleh membuat permohonan bagi tambahan kelayakan sebanyak 100 liter sebulan. Dengan tambahan tersebut, jumlah kelayakan bulanan mereka dapat ditingkatkan daripada 300 liter kepada 400 liter.
Pemilik pikap dan jip yang layak tetapi belum memohon tambahan tersebut boleh berbuat demikian melalui portal BUDI MADANI di www.budimadani.gov.my.
Bagi pemilik pikap dan jip yang telah diluluskan tambahan 100 liter sebelum ini, kelayakan mereka akan diselaraskan secara automatik kepada 400 liter mulai 1 September 2026.
Pengembalian had kelayakan bulanan ini mengambil kira pengurusan bekalan yang semakin tersusun, penguatkuasaan yang lebih tegas, prestasi ekonomi negara yang kukuh serta kemampuan kewangan Kerajaan. Langkah ini turut mengambil kira keperluan rakyat yang perlu menempuh perjalanan jauh untuk urusan harian dan peniaga kecil yang bergantung pada kenderaan untuk mencari rezeki.
Kerajaan MADANI akan terus memastikan subsidi bahan api disalurkan kepada rakyat Malaysia yang layak, sambil memperkukuh usaha membendung ketirisan, penyeludupan dan penyalahgunaan.
| Kategori | Kelayakan | Had kelayakan (mulai 1 September 2026) | Had kelayakan (Ogos 2026) |
|---|---|---|---|
| BUDI95 | Warganegara Malaysia dengan MyKad dan lesen memandu aktif | 300 liter | 200 liter |
| BUDI95 + BUDI Diesel | Memenuhi kelayakan asas BUDI95 serta memiliki kenderaan diesel persendirian dengan Lesen Kenderaan Motor/cukai jalan aktif dan memenuhi syarat BUDI Diesel | 300 liter | 200 liter |
| BUDI95 + BUDI Diesel + tambahan 100 liter sebulan | Penerima BUDI Diesel yang telah diluluskan tambahan kelayakan bagi kenderaan diesel jenis pikap atau jip | 400 liter | 300 liter |
Kementerian Kewangan
Putrajaya
31 Ogos 2026
↓ Muat turun: Siaran-Media-Had-Kelayakan-Bulanan-BUDI-MADANI-Dinaikkan-Kepada-300-liter-31082026