Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Harga Runcit Petrol Dan Diesel Diturunkan, Pasaran Global Kekal Tidak Menentu

Harga Runcit Petrol Dan Diesel Diturunkan, Pasaran Global Kekal Tidak Menentu

Selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit petrol dan diesel bagi minggu ini diturunkan berikutan penyusutan purata harga pasaran antarabangsa minggu terdahulu. Namun begitu, penurunan ini tidak menandakan tekanan pasaran petroleum global telah reda kerana ketidaktentuan pasaran susulan konflik di Asia Barat yang berlarutan lebih 12 minggu masih berterusan.

Harga minyak mentah Brent mutakhir ini kekal melepasi AS$100 setong, iaitu lebih 50% lebih tinggi berbanding paras prakonflik sekitar AS$60 hingga AS$70 setong. Keadaan ini turut disertai peningkatan kos penghantaran dan premium insurans akibat risiko laluan perdagangan di zon konflik.

Sejak konflik tercetus pada 28 Februari 2026, risiko gangguan bekalan minyak global terus menjadi perhatian pasaran memandangkan Selat Hormuz merupakan laluan bagi kira-kira 20% bekalan petroleum dunia. Dalam masa sama, kerosakan kemudahan pengeluaran dan penapisan minyak di Asia Barat memerlukan tempoh yang panjang untuk dipulihkan.

Dalam keadaan pasaran global yang kekal tidak menentu, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat melalui perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu bagi membantu memanjangkan bekalan negara.

Penetapan harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh 28 Mei hingga 3 Jun 2026 adalah seperti berikut:

Harga Runcit

Bahan Api Harga Runcit Perubahan
RON97 RM4.65 seliter (harga 27 Mei 2026: RM4.85 seliter) Turun 20 sen seliter
RON95 RM3.92 seliter (harga 27 Mei 2026: RM4.07 seliter) Turun 15 sen seliter
Diesel (Semenanjung Malaysia) RM4.87 seliter (harga 27 Mei 2026: RM4.97 seliter) Turun 10 sen seliter

Pada masa yang sama, Kerajaan MADANI terus mengekalkan harga produk petroleum bersubsidi secara bersasar bagi membantu memelihara kelangsungan hidup rakyat dan operasi sektor tertentu dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu. Harga bersubsidi yang dikekalkan adalah seperti berikut:

Bahan Api  Harga Subsidi
RON95 (BUDI95) RM1.99 seliter
Diesel (Sabah, Sarawak dan W.P. Labuan) RM2.15 seliter
Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) RM2.05 seliter
Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter

Di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95), Kerajaan MADANI terus mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter bagi lebih 14 juta penerima yang layak. Lebih 90% daripada jumlah liter RON95 yang digunakan di negara ini adalah oleh pengguna yang menerima subsidi.

Pada harga RON95 tanpa subsidi semasa RM3.92 seliter, penggunaan 200 liter akan menelan kos RM784. Ini bermakna Kerajaan MADANI menanggung RM386 bagi setiap penerima yang menggunakan kelayakan penuh BUDI95.

Dengan siling kelayakan bulanan sehingga 200 liter, penerima BUDI95 hanya membayar sehingga RM398 sebulan bagi penggunaan penuh kelayakan tersebut.

Bagi mengimbangi kos sara hidup rakyat dan keperluan perbelanjaan fiskal secara berhemat, Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.

Muat turun infografik

 

Download infographic

Kementerian Kewangan
Putrajaya
27 Mei 2026

↓ Muat turun: Siaran-Media-Harga-Petroleum-27052026

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility