Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Kerajaan Seru Penggunaan Bahan Api Secara Berhemat Dalam Keadaan Pasaran Global Yang Kekal Tidak Menentu

Kerajaan Seru Penggunaan Bahan Api Secara Berhemat Dalam Keadaan Pasaran Global Yang Kekal Tidak Menentu

Kemelut geopolitik di Asia Barat telah berlarutan melebihi 11 minggu tanpa tanda penyelesaian dalam masa terdekat. Dengan konflik yang berpanjangan, tekanan terhadap harga minyak mentah dan produk petroleum global menjadi semakin mendesak.

Harga minyak mentah Brent kini mencecah sekitar AS$110 setong, hampir 60% lebih tinggi berbanding paras prakonflik sekitar AS$70 setong. Pada masa yang sama, kos logistik dan premium insurans turut meningkat ketara akibat risiko penghantaran melalui zon konflik, sekali gus memberi tekanan lanjut kepada harga produk petroleum.

Gangguan bekalan minyak global juga menjadi semakin meruncing apabila konflik terus berlarutan. Selat Hormuz merupakan laluan bagi kira-kira 20% bekalan petroleum dunia, manakala kerosakan kemudahan pengeluaran dan penapisan minyak di Asia Barat memerlukan masa untuk dipulihkan.

Dalam keadaan pasaran global yang kekal tidak menentu, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat bagi membantu memanjangkan bekalan negara. Perancangan perjalanan harian juga dapat membantu penggunaan bahan api secara lebih cekap.

Justeru, selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh 21 Mei hingga 27 Mei 2026 adalah seperti berikut:

Harga Runcit

Bahan Api Harga Runcit Perubahan
RON97 RM4.85 seliter (harga 20 Mei 2026: RM4.70 seliter) Naik 15 sen seliter
RON95 RM4.07 seliter (harga 20 Mei 2026: RM3.87 seliter) Naik 20 sen seliter
Diesel (Semenanjung Malaysia) RM4.97 seliter (harga 20 Mei 2026: RM4.87 seliter) ) Naik 10 sen seliter


Pada masa yang sama, Kerajaan MADANI terus mengekalkan harga produk petroleum bersubsidi secara bersasar bagi membantu memelihara kelangsungan hidup rakyat dan operasi sektor tertentu dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu. Harga bersubsidi yang dikekalkan adalah seperti berikut:

Bahan Api  Harga Subsidi
RON95 (BUDI95) RM1.99 seliter
Diesel (Sabah, Sarawak dan W.P. Labuan) RM2.15 seliter
Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) RM2.05 seliter
Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter


Di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95), Kerajaan MADANI terus mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter bagi lebih 14 juta penerima yang layak. Lebih 90% daripada jumlah liter RON95 yang digunakan di negara ini adalah oleh pengguna yang menerima subsidi.

Pada harga RON95 tanpa subsidi semasa RM4.07 seliter, penggunaan 200 liter akan menelan kos RM814. Ini bermakna Kerajaan MADANI menanggung RM416, atau lebih daripada separuh kos sebenar RON95, bagi setiap penerima yang menggunakan kelayakan penuh BUDI95.

Dengan siling kelayakan bulanan sehingga 200 liter, penerima BUDI95 hanya membayar sehingga RM398 sebulan bagi penggunaan penuh kelayakan tersebut.

Bagi mengimbangi kos sara hidup rakyat dan keperluan perbelanjaan fiskal secara berhemat, Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.

Muat turun infografik

 

Download infographic

Kementerian Kewangan
Putrajaya
20 Mei 2026

↓ Muat turun: siaran-media-harga-petroleum-20052026

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility