Accessibility Tools
Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Konflik Yang Melarat Di Asia Barat Terus Mendorong Peningkatan Harga Petrol Dan Diesel Tanpa Subsidi

Konflik Yang Melarat Di Asia Barat Terus Mendorong Peningkatan Harga Petrol Dan Diesel Tanpa Subsidi

Berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi masing-masing meningkat 20 sen seliter bagi tempoh 30 Julai hingga 5 Ogos 2026.

Harga produk petroleum tanpa subsidi dipengaruhi oleh pergerakan pasaran minyak dunia pada minggu terdahulu. Konflik berterusan antara Amerika Syarikat dan Iran telah mendorong harga minyak mentah Brent meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh enam minggu, iaitu AS$96 setong.

Risiko terhadap laluan perdagangan utama, termasuk Selat Hormuz dan Laut Merah, turut meningkatkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan petroleum global. Selagi konflik tersebut belum mencapai penyelesaian muktamad, harga produk petroleum dijangka terus dibelenggu ketidaktentuan pasaran dunia.

Pada masa sama, simpanan kecemasan petroleum beberapa ekonomi utama dilaporkan semakin menyusut susulan konflik yang tercetus di Asia Barat pada 28 Februari 2026. Sekiranya gangguan bekalan berterusan, keperluan negara-negara tersebut untuk mengisi semula stok simpanan masing-masing berpotensi menambah tekanan terhadap harga petroleum dalam jangka sederhana.

Kerajaan MADANI bertekad untuk melindungi rakyat dan perniagaan daripada tempias keruncingan global ini sebaik mungkin. Setakat ini, bekalan bahan api negara kekal mencukupi, manakala subsidi bersasar terus tersedia melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95), BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel), Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).

Namun begitu, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat. Merancang perjalanan yang lebih cekap serta mengurangkan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu mengurangkan tekanan terhadap bekalan negara dan perbelanjaan subsidi.

Penetapan harga runcit petrol dan diesel tanpa subsidi bagi tempoh 30 Julai hingga 5 Ogos 2026 adalah seperti berikut:

Harga Runcit

Bahan Api Harga Runcit Perubahan
RON97 RM4.40 seliter (harga 29 Julai 2026: RM4.20 seliter) Naik 20 sen
RON95 RM3.82 seliter (harga 29 Julai 2026: RM3.62 seliter) Naik 20 sen
Diesel RM4.62 seliter (harga 29 Julai 2026: RM4.42 seliter)  Naik 20 sen

Harga petroleum bersubsidi yang dikekalkan adalah seperti berikut: 

Bahan Api  Harga Subsidi
RON95 (BUDI95) RM1.99 seliter
Diesel (Sabah, Sarawak dan W.P. Labuan) RM2.10 seliter
Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) RM2.05 seliter
Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter

Melalui BUDI95 dan BUDI MADANI Diesel BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada kelayakan dan baki kelayakan bulanan masing-masing.

Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.

Muat turun infografik

 

Muat turun infografik

Kementerian Kewangan
Putrajaya
29 Julai 2026

↓ Muat turun: siaran-media-harga-petroleum-29072026

Arkib Siaran Media