Accessibility Tools
Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Harga Petrol Dan Diesel Tanpa Subsidi Turun 25 Sen Seliter, Kerajaan MADANI Terus Komited Lindungi Rakyat

Harga Petrol Dan Diesel Tanpa Subsidi Turun 25 Sen Seliter, Kerajaan MADANI Terus Komited Lindungi Rakyat

Berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi masing-masing menurun sebanyak 25 sen seliter, bagi tempoh 26 November hingga 2 Disember 2026.

Harga Runcit

Bahan Api  Harga Runcit Perubahan
RON97  RM3.75 seliter (harga 25 November 2026: RM4.00 seliter) Turun 25 sen
RON95 RM3.47 seliter (harga 25 November 2026: RM3.72 seliter) Turun 25 sen
Diesel RM4.47 seliter (harga 25 November 2026: RM4.72 seliter) Turun 25 sen

Harga produk petroleum bertapis di pasaran serantau terus menunjukkan penyederhanaan dalam tempoh pengiraan APM, termasuk bagi petrol dan diesel. Perkembangan ini mencerminkan tekanan harga yang semakin berkurangan dalam pasaran petroleum antarabangsa.

Pada masa sama, prospek peningkatan bekalan minyak mentah global turut mempengaruhi penyusutan harga minyak dunia. Bagaimanapun, bekalan produk petroleum bertapis masih berdepan beberapa kekangan di pasaran tertentu.

Ketidaktentuan geopolitik dan risiko gangguan penghantaran petroleum masih boleh menjejaskan bekalan global. Sehubungan itu, harga petroleum dunia dijangka terus mengalami turun naik dalam tempoh terdekat.

Kerajaan MADANI kekal komited melindungi rakyat dan perniagaan melalui pelaksanaan subsidi bahan api bersasar BUDI MADANI. Peruntukan hampir RM40 bilion disediakan untuk subsidi bahan api pada tahun hadapan bagi membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.

Perlindungan melalui BUDI MADANI

Melalui BUDI95, penerima yang layak terus menikmati harga RON95 pada RM1.99 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM3.47 seliter. Ini bermakna Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM1.48 bagi setiap liter, bersamaan 43% daripada harga tanpa subsidi.

Bagi BUDI Diesel pula, penerima yang layak terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM4.47 seliter, dengan Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.37 seliter atau 53% daripada harga tanpa subsidi.

Harga petroleum bersubsidi yang dikekalkan adalah seperti berikut:

Bahan Api  Harga Subsidi
RON95 (BUDI95)  RM1.99 seliter
Diesel (BUDI Diesel) RM2.10 seliter
Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) RM2.05 seliter
Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter

Melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan.

Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
25 November 2026

↓ Muat turun: Harga Petrol Dan Diesel Tanpa Subsidi Turun 25 Sen Seliter, Kerajaan MADANI Terus Komited Lindungi Rakyat

Arkib Siaran Media