Pilih bahasa anda
Harga runcit produk petroleum tanpa subsidi menurun bagi tempoh 13 Ogos hingga 19 Ogos 2026, susulan kejatuhan harga minyak dunia pada minggu lalu. Harga runcit RON97 menurun sebanyak 20 sen seliter, RON95 tanpa subsidi menurun 15 sen seliter, manakala diesel tanpa subsidi menurun 10 sen seliter.
Harapan terhadap penyelesaian konflik antara Amerika Syarikat dan Iran telah menyebabkan harga minyak dunia diniagakan pada paras lebih rendah bagi sebahagian besar minggu lalu. Harga minyak mentah Brent merosot ke bawah AS$80 setong pada awal tempoh pengiraan harga Automatic Pricing Mechanism (APM), iaitu paras terendah dalam tempoh tiga minggu.
Namun begitu, premium risiko geopolitik kembali meningkat menjelang penghujung tempoh pengiraan APM apabila prospek rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran kembali merosot, susulan tuntutan baharu yang dikemukakan kedua-dua pihak. Harga Brent meningkat hampir 5% pada Isnin apabila kebimbangan terhadap pembukaan semula Selat Hormuz kembali memuncak.
Ketidaktentuan mengenai pembukaan semula Selat Hormuz terus menimbulkan risiko gangguan bekalan minyak dunia, sekali gus memberi tekanan terhadap harga petroleum. Dengan itu, harga produk petroleum dijangka terus mengalami turun naik ketara dalam tempoh terdekat.
Kerajaan MADANI bertekad untuk melindungi rakyat dan perniagaan daripada tempias keruncingan global ini sebaik mungkin.
Namun begitu, rakyat diseru agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat. Merancang perjalanan yang lebih cekap serta mengurangkan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu mengurangkan tekanan terhadap bekalan negara dan perbelanjaan subsidi.
Melalui sistem subsidi bersasar yang disediakan, Kerajaan MADANI terus melindungi pengguna yang layak daripada kenaikan harga pasaran. Bagi pengguna yang layak di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95), Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM1.63 seliter, bersamaan kira-kira 82% daripada harga RM1.99 seliter yang dibayar di pam. Bagi pengguna yang layak di bawah BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pula, Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.37 seliter, bersamaan kira-kira 113% daripada harga RM2.10 seliter yang dibayar di pam.
Penetapan harga runcit petrol dan diesel tanpa subsidi bagi tempoh 13 Ogos hingga 19 Ogos 2026 adalah seperti berikut:
Harga Runcit
| Bahan Api | Harga Runcit | Perubahan |
|---|---|---|
| RON97 | RM4.15 seliter (harga 12 Ogos 2026: RM4.35 seliter) | Turun 20 sen |
| RON95 | RM3.62 seliter (harga 12 Ogos 2026: RM3.77 seliter) | Turun 15 sen |
| Diesel | RM4.47 seliter (harga 12 Ogos 2026: RM4.57 seliter) | Turun 10 sen |
Harga petroleum bersubsidi yang dikekalkan adalah seperti berikut:
| Bahan Api | Harga Subsidi |
|---|---|
| RON95 (BUDI95) | RM1.99 seliter |
| Diesel (BUDI Diesel) | RM2.10 seliter |
| Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) | RM2.05 seliter |
| Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) | RM2.15 seliter |


Melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada kelayakan dan baki kelayakan bulanan masing-masing. Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
12 Ogos 2026
↓ Muat Turun : Siaran-Media-Harga-Petroleum-12082026