Accessibility Tools
Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Harga Runcit Petrol Dan Diesel Dikekalkan, Tanggungan Subsidi Diunjur Rm3.5 Bilion Sebulan

Harga Runcit Petrol Dan Diesel Dikekalkan, Tanggungan Subsidi Diunjur Rm3.5 Bilion Sebulan

Selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit petrol dan diesel bagi minggu ini dikekalkan berikutan pergerakan purata harga pasaran antarabangsa minggu terdahulu.

Subsidi bulanan bagi RON95 dan diesel pada Januari 2026 adalah sekitar RM700 juta, sebelum melonjak kepada hampir RM5 bilion sebulan pada Mac dan memuncak sebanyak RM7.5 bilion pada April 2026 susulan krisis di Asia Barat, apabila harga minyak mentah Brent mencecah sehingga AS$120 setong.

Dengan perkembangan terkini, harga minyak mentah Brent global kini menyederhana sekitar paras AS$90 setong. Namun begitu, tanggungan subsidi Kerajaan berdasarkan harga pasaran semasa masih diunjurkan tinggi iaitu sekitar RM3.5 bilion sebulan. Daripada jumlah tersebut, subsidi RON95 diunjurkan sekitar RM2 bilion sebulan, manakala subsidi diesel pula sekitar RM1.5 bilion sebulan.

Walaupun pasaran petroleum global telah menunjukkan trend lebih stabil sejak beberapa minggu kebelakangan ini, pasaran petroleum antarabangsa masih dipengaruhi ketidaktentuan bekalan fizikal, tahap inventori global dan permintaan bermusim di beberapa rantau utama dunia.

Bekalan petroleum negara ketika ini kekal stabil dan mencukupi, dengan perancangan bekalan yang telah disusun bagi memastikan kelangsungan bekalan untuk tempoh akan datang. Pada masa yang sama, Kerajaan MADANI terus memperkukuh langkah keterjaminan bekalan dalam jangka panjang dan subsidi bersasar ketika krisis bekalan global masih berlarutan.

Pendekatan bersubsidi bersasar ini membantu mengurangkan tekanan kos kepada rakyat serta memastikan sektor-sektor penting negara terus beroperasi dengan stabil dalam keadaan global yang masih mencabar.

Kerajaan turut menggalakkan penggunaan bahan api secara lebih cekap dan berhemah melalui perancangan perjalanan yang lebih baik serta pengurangan pembaziran penggunaan bahan api, selaras dengan usaha memperkukuh daya tahan
negara dalam menghadapi ketidaktentuan global.

Penetapan harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh 11 Jun hingga 17 Jun 2026 adalah seperti berikut:

Harga Runcit

Bahan Api  Harga Runcit Perubahan
RON97  RM4.35 seliter (harga 10 Jun 2026: RM4.35 seliter) Tiada perubahan
RON95  RM3.72 seliter (harga 10 Jun 2026: RM3.72 seliter) Tiada perubahan
Diesel (Semenanjung Malaysia)   RM4.67 seliter (harga 10 Jun 2026: RM4.67 seliter) Tiada perubahan

Harga petroleum bersubsidi yang dikekalkan adalah seperti berikut:

Bahan Api  Harga Subsidi
RON95 (BUDI95)  RM1.99 seliter
Diesel (Sabah, Sarawak dan W.P Labuan)  RM2.15 seliter
Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS)  RM2.05 seliter
Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS)  RM2.15 seliter

Di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95), Kerajaan MADANI terus mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter bagi lebih 14 juta penerima yang layak.

Pada harga RON95 tanpa subsidi semasa RM3.72 seliter, penggunaan 200 liter akan menelan kos RM744. Namun dengan harga subsidi RM1.99 seliter, penerima BUDI95 hanya membayar RM398 sebulan bagi penggunaan sama. Ini bermakna
penerima BUDI95 terus menikmati penjimatan sekitar RM346 sebulan bagi penggunaan penuh 200 liter.

Harga diesel tanpa subsidi RM4.67 seliter pula adalah lebih dua kali ganda daripada harga diesel bersubsidi RM2.15 seliter, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos pengangkutan awam dan logistik barangan pengguna.

Kerajaan akan terus mengambil pendekatan seimbang untuk memastikan rakyat terus dilindungi, sambil mengekalkan pengurusan kewangan negara yang bertanggungjawab serta menjamin keterjaminan bekalan bahan api negara.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
10 Jun 2026

↓ Muat Turun : Siaran-Media-Harga-Petroleum-10062026

Arkib Siaran Media