Hari ketiga pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan penyaluran SARA bulanan mencatat jumlah transaksi tertinggi setakat ini, dengan lebih 1.1 juta transaksi berjaya disempurnakan pada 2 September 2025. Ini melibatkan nilai jualan sebanyak RM75.3 juta setakat jam 10.30 malam, berbanding RM50 juta pada 31 Ogos 2025. Pada masa yang sama, kadar transaksi yang berjaya juga telah meningkat kepada 95% pada hari ini berbanding 79% pada 31 Ogos 2025.
Secara keseluruhan, lebih 2.9 juta rakyat telah membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit Penghargaan SARA dan SARA dalam tempoh tiga hari, dengan jumlah perbelanjaan rakyat mencecah RM192.4 juta di seluruh negara.
Peningkatan jumlah transaksi sejak 31 Ogos 2025 menyebabkan sistem MyKasih berdepan pencanakan trafik yang mencecah lebih 2,000 transaksi diluluskan seminit, berbanding rekod terdahulu sekitar 540 transaksi seminit pada April 2025. Ini merupakan peningkatan hampir empat kali ganda berbanding kapasiti puncak sebelum ini.
Bagi meningkatkan kelancaran sistem, kapasiti pemprosesan telah dipertingkatkan daripada 5,000 kepada 15,000 kuiri seminit. Satu transaksi lazimnya melibatkan beberapa permintaan sistem — termasuk imbasan MyKad, bacaan barangan dan pengesahan akhir. Peningkatan ini dijangka akan mempercepat proses transaksi dan meningkatkan keselesaan pengguna.
Kementerian Kewangan menghargai sambutan menggalakkan daripada para penerima. Maklum balas orang ramai akan terus menjadi rujukan penting dalam usaha menambah baik sistem agar lebih cekap dan mesra pengguna.
Kredit RM100 Penghargaan SARA kekal sah sehingga 31 Disember 2025, dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
2 September 2025