Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Hari Pertama BUDI95 Berjalan Lancar

Hari Pertama BUDI95 Berjalan Lancar

Hari pertama pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95), yang dibuka terlebih dahulu khusus untuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), telah berjalan lancar dengan hampir 20% daripada keseluruhan 300,000 anggota menjalankan transaksi BUDI95 di stesen minyak di seluruh negara.

Setakat jam 9.00 malam ini, sebanyak RM2.6 juta pembelian telah direkodkan untuk membeli 1.3 juta liter petrol RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter. Berdasarkan laporan di lapangan, urusan BUDI95 berjalan lancar dengan sistem BUDI95 stabil dan pembacaan MyKad oleh terminal di stesen minyak beroperasi dengan baik.

Kementerian Kewangan merakamkan penghargaan kepada semua anggota ATM dan PDRM yang menjadi kumpulan terawal memanfaatkan BUDI95.

Esok (28 September 2025), sistem BUDI95 akan diperluas kepada lebih 5 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kategori B40, sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada 30 September 2025 untuk 16 juta rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dan lessen memandu aktif.

Sejak portal BUDI95 dilancarkan pada 25 September 2025, seramai 8.1 juta pengguna telah membuat semakan kelayakan mereka untuk memanfaatkan subsidi RON95. Orang ramai boleh merujuk soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi BUDI95 di www.budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan di 1-300-88-9595 untuk maklumat lanjut.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
27 September 2025

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility