Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Hutang Kerajaan Negeri Pahang Kerajaan Negeri Pahang Tertinggi Sejak 2014

Hutang Kerajaan Negeri Pahang Kerajaan Negeri Pahang Tertinggi Sejak 2014

Fakta dan angka akan mematahkan dakwaan Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail bahawa kadar hutang Kerajaan Negeri Pahang sehingga 31 Disember 2018 sebenarnya adalah RM760 Juta dan bukan RM3.178 Bilion. Kenyataan beliau tidak berasas kerana berdasarkan rekod Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Kerajaan Negeri tetap berhutang sebanyak RM3,178 Juta kepada Kerajaan Persekutuan.

Penyata Kewangan dan rekod JANM sejak 2014 membuktikan Kerajaan Negeri Pahang merupakan penghutang yang paling besar di seluruh Malaysia. Tahun 2018 atau 2019 bukanlah kali pertama Pahang menjadi Kerajaan Negeri dengan jumlah hutang paling besar di antara semua Kerajaan Negeri di Malaysia. Pada hakikatnya, Pahang telah menjadi jaguh hutang yang terbesar sejak tahun 2014, melebihi negeri-negeri lain (lihat Jadual 1).

Malah hutang Kerajaan Negeri Pahang bukanlah RM 760 Juta pada hari ini ataupun pada tahun 2014, tetapi sudah mencecah RM2,801 Juta sejak tahun itu lagi. Perlu ditegaskan bahawa jumlah hutang yang tinggi ini telah pun diaudit dan disahkan oleh Ketua Audit Negara. Adakah YAB Menteri Besar hendak mempersoalkan Laporan Ketua Audit Negara pada 2014 sehingga laporannya yang terkini untuk tahun 2017? Sungguhpun sudah mempunyai paras hutang yang begitu tinggi sejak 2014, Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) yang menjadi pemerintah pada masa itu tidak pernah dipersalahkan dan tidak diminta menyelesaikan masalah hutang Kerajaan Negeri.

Pada masa yang sama, rekod kewangan jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang secara berterusan mengeluarkan belanja lebih daripada hasil yang diterima, atau belanjawan defisit, setiap tahun dari tahun 2014 (lihat Jadual 2). Belanjawan defisit secara berturut-turut ini tidak memberikan keyakinan terhadap kemampuan mereka untuk menjalankan pembangunan dengan baik. Datuk Wan Rosdy cuba menidakkan fakta ini dengan mengalih tanggungjawab hutang Kerajaan Negeri, yang pada paras tertinggi, dengan mempersalahkan Kerajaan Persekutuan. Sedangkan sejak 2014 lagi, hutang Pahang kian meningkat.

Jadual 1: Paras Hutang Kerajaan Negeri Pahang 2014-2018
Tahun  Hutang (RM Juta)  Tunggakan (RM Juta) 
2018  3,178,0  1270.5 
2017  3,213.0  1,227.6 
2016  3,104.5  1,087.9 
2015  3,017.1  929.8 
2014  2,801.4  790.2 
Sumber: Jabatan Akauntan Negara Malaysia

 

Jadual 2: Maklumat Kewangan Negeri Pahang 2014-2017
Maklumat Kewangan Pahang  2014 (RM Juta)  2015 (RM Juta)  2016 (RM Juta)  2017 (RM Juta) 
Hasil 534.7  773.3  615.1  535.8 
Belanja Mengurus  (650.7)  (878.2)  (629.3)  (613.9) 
Lebihan/(Defisit) hasil  (116.0)  (104.9)  (14.2)  (78.1) 
Sumber: Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Pahang Bagi Tahun 2014 Hingga 2017

 

Laporan Jabatan Audit Negara terhadap Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Pahang untuk 2017 juga merumuskan bahawa kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Pahang kurang stabil. Sehubungan itu, Jabatan Audit Negara telah menyarankan agar Kerajaan Negeri mengambil langkah-langkah untuk memperkukuh kedudukan kewangan Kerajaan Negeri, termasuklah mengamalkan perbelanjaan berhemat, selain melakukan usaha untuk meningkatkan kutipan hasil negeri supaya sumber pendapatan dapat menampung perbelanjaan mengurus dan tanggungan semasa.


Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya

25 Januari 2019

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility