Untuk memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan, salah satu pendekatan ialah melalui proses memperkasakan pendigitalan. Seperti yang sedia maklum, pihak Kerajaan sedang memberi tumpuan kepada proses pendigitalan kerana ini merupakan satu teknologi masa hadapan, yang bukan sahaja harus dikuasai rakyat Malaysia tetapi juga sesuatu yang harus menjadi sebahagian daripada kehidupan harian. Ini supaya kita mampu serasi dengan perkembangan terkini dunia.
Dalam aspek ini, pihak Kementerian telahpun mengumumkan dalam Belanjawan 2020 bahawa kita akan mulakan program e-Tunai Rakyat. Melalui program ini, kita mahu menggalakkan pembayaran digital secara lebih meluas dalam kalangan rakyat dan sebanyak RM450 juta telah diperuntukkan supaya lebih ramai mendaftar untuk teknologi ini dan menjadi sebahagian daripada platform pembayaran digital. Kita berharap dapat menarik 15 juta rakyat Malaysia yang berumur lebih 18 tahun dan mempunyai pendapatan kurang daripada RM100,000 setahun.
Beberapa program pelancaran telah diadakan di seluruh negara, termasuk di Petaling Jaya, di Kuching, di Pulau Pinang, di Ipoh, dan juga di Putrajaya. Setakat ini kita telah lihat sambutan yang menggalakkan iaitu sebanyak 6 juta permohonan telah diluluskan setakat semalam yang melibatkan perbelanjaan RM180 juta ringgit yang telah digunakan oleh semua penerima untuk membeli belah. Walaupun Kerajaan telah mengumumkan RM30 setiap orang, tetapi dengan tambahan ataupun tawaran-tawaran tambah nilai oleh syarikat pengendali swasta, sebenarnya penerima e-Tunai Rakyat mendapat sekurang-kurangnya RM60 untuk membeli-belah. Jumlah ini tentu digandakan dan sedikit-sebanyak dapat menyumbang kepada jumlah pembelian dan juga pertumbuhan ekonomi.
Namun apa yang lebih penting ialah kita hendak lebih ramai untuk mendaftar dalam platform digital, bukan sahaja rakyat biasa untuk membeli-belah tetapi juga peniaga-peniaga, pedagang-pedagang, dan juga penjaja-penjaja kecil. Ini adalah penting sekiranya kita mahu terus mampu bersaing, kita perlu ceburi diri dalam platform digital. Itu sesuatu yang wajib dilakukan.
Kami juga telah dapat dimaklumkan bahawa seramai 16,182 pedagang dan peniaga tambahan telah mendaftarkan diri dan ini sesuatu perkembangan yang amat menggalakkan. Sudah tentulah, Inisiatif e-Tunai Rakyat ini akan memberi manfaat besar kepada pengguna dan pedagang tempatan serta akan dapat membantu mencapai matlamat yang disasarkan iaitu menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai masyarakat dan ekonomi digital yang maju.
Sayangi Malaysiaku!
Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
9 Februari 2020