(Putrajaya, 19 Februari 2022) Pelancaran JaminKerja Keluarga Malaysia (“JaminKerja”) dan Karnival Kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia (“Karnival Kerjaya”) telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Inisiatif Jaminkerja yang bernilai RM4.8 bilion bagi mencipta 600,000 peluang pekerjaan ini merupakan kolaborasi di antara Kementerian Kewangan (MOF) dan agensinya, Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA); serta Kementerian Sumber Manusia (KSM), serta agensi-agensinya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp).
Karnival Kerjaya yang bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur merupakan siri pertama di dalam jadual karnival yang akan diadakan di pelbagai negeri sepanjang tahun ini. Sebanyak 50 majikan akan mengambil bahagian pada 19 Februari, di mana lebih 12,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan.
JaminKerja merupakan satu inisiatif Kerajaan untuk terus menurunkan kadar pengangguran dengan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, sejajar dengan perkembangan sektor perniagaan yang sekali gus akan menempatkan ekonomi di landasan pemulihan yang tepat.
Inisiatif JaminKerja terdiri daripada tiga komponen utama iaitu JaminKerja – Insentif Penggajian; MySTEP dan Latihan & Peningkatan Kemahiran.
| Langkah | Program | Peruntukan/ Sasaran | Tempoh Permohonan |
|---|---|---|---|
| 1. JaminKerja - Insentif Penggajian oleh PERKESO | Program insentif penggajian bagi majikan | RM2.0 bilion/ 300,000 pekerjaan | 17 Januari 2022 - 30 Jun 2022 |
| 2. MySTEP oleh LAKSANA (MOF) | Program pekerjaan jangka pendek secara kontrak di sektor awam dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran pencari kerja | RM1.7 bilion/ 80,000 pekerjaan | Sepanjang tahun 2022 |
| 3. Latihan & Peningkatan Kemahiran/ Upskill Malaysia oleh HRD Corp | 5,000 kursus (termasuk program latihan berserta jaminan pekerjaan) akan ditawarkan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan. | RM1.1 bilion/ 220,000 penempatan latihan | Sepanjang tahun 2022 |
Keluarga Malaysia boleh layari https://budget.mof.gov.my/manfaat/jaminkerja.html bagi keseluruhan senarai langkah-langkah JaminKerja, atau laman-laman web khusus berikut bagi merebut peluang pekerjaan dan insentif yang ditawarkan melalui pelbagai agensi:
Kerajaan yakin bahawa usaha penciptaan pekerjaan dan pemerkasaan perniagaan melalui Bajet 2022 akan menyumbang kepada unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 5.5 hingga 6.5 peratus pada tahun ini. Selain dari kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, salah satu faktor yang juga akan menyumbang kepada usaha pemulihan ekonomi negara adalah pemantauan rapi inisiatif Bajet 2022 menerusi Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2022 (JPB 2022). JPB 2022 yang akan dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri sendiri, akan memastikan pelaksanaan dan prestasi pelbagai inisiatif di bawah Bajet 2022 disempurnakan sebaik mungkin untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia.
KEMENTERIAN KEWANGAN
Putrajaya
KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA
Putrajaya