Program Jaringan Prihatin adalah sebuah inisiatif di bawah Belanjawan 2021 untuk 8.4 juta penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) mendapatkan bantuan bagi perkhidmatan data internet atau pembelian peranti mudah alih. Program bernilai RM3.5 bilion ini merupakan pelengkap kepada inisiatif MyDigital yang diumumkan pada Februari 2021, yang bertujuan membina bakat dan kemahiran digital seiring dengan usaha keterangkuman berpaksikan objektif Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Jaringan Prihatin telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis maya hari ini.
Jaringan Prihatin adalah kerjasama antara Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta dua belas (12) syarikat telekomunikasi di Malaysia, iaitu Celcom, Digi, Maxis, Mcalls, redONE, speakOUT, Tune Talk, U Mobile, unifi Mobile, XOX Mobile, YES dan Yoodo.
Program ini telah diumumkan di dalam Belanjawan 2021 dengan peruntukan asal RM1.5 bilion. Mengambil kira jumlah keluarga B40 yang mempunyai anak, terutamanya yang bersekolah, RM500 juta telah ditambah di bawah pakej bantuan PEMERKASA yang diumumkan Mac lalu, menjadikan nilainya RM2.0 bilion. Selain itu, syarikat-syarikat telekomunikasi juga menawarkan faedah tambahan bernilai RM1.5 bilion, menjadikan faedah keseluruhan berjumlah RM3.5 bilion kepada penerima-penerima BPR.
Di bawah Jaringan Prihatin ini, penerima yang layak boleh memilih salah satu dari dua manfaat, iaitu pakej peranti atau pelan data bulanan:
| Kategori B40 | Bantuan untuk Pakej Peranti | Bantuan untuk Pelan Data Bulanan untuk 12 Bulan |
|---|---|---|
| Mempunyai anak di bawah umur 18 tahun | RM300 | RM180 |
| Tiada anak di bawah umur 18 tahun | RM180 | RM180 |
Program ini merupakan sebahagian dari lima (5) Fokus Utama Kerajaan di dalam memulih dan melonjakkan ekonomi Malaysia pasca-COVID, iaitu memperkukuhkan dayasaing negara melalui pengurangan jurang digital. Mengimbas kembali, 5 Fokus Utama ini adalah: Mengawal penularan COVID-19 bagi membolehkan pembukaan ekonomi; Memacu pemulihan ekonomi bagi terus memelihara kebajikan rakyat dan sektor terjejas; Memperkukuh dayasaing negara; Memastikan agenda keterangkuman; dan Mentransformasikan ekonomi kepada aktiviti berasaskan pengetahuan dan berpaksikan inovasi.
Jaringan Prihatin menerapkan konsep keterangkuman dan pada masa yang sama merupakan langkah untuk memperkasakan rakyat Malaysia ke arah ekonomi digital bagi memastikan tiada rakyat yang ketinggalan.
Pendaftaran untuk Jaringan Prihatin akan dibuka daripada 5 Mei 2021 hingga 31 Julai 2021. Penerima yang layak boleh mendaftar dengan syarikat telekomunikasi pilihan mereka dan menyertai mana-mana pelan yang diiktiraf di bawah program ini. Untuk maklumat lanjut mengenai Jaringan Prihatin, sila layari: https://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat/index.php/bm/jaringanprihatin
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
5 Mei 2021
LAMPIRAN
Maklumat lanjut mengenai pelbagai pelan yang ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi di bawah Program Jaringan Prihatin boleh didapati di pautan berikut:
Celcom: https://www.celcom.com.my/personal/jaringan-prihatin
Digi: https://digi.my/prihatin
Maxis: https://www.maxis.com.my/jaringanprihatin
Mcalls: https://mcalls.asia/jaringanprihatin
redONE: https://www.redone.com.my/promotion/bpr
speakOUT: https://speakout.asia/jaringanprihatin
Tune Talk: https://www.tunetalk.com/my/en/jaringanprihatin
U Mobile:https://www.u.com.my/jaringanprihatin
unifi Mobile: www.unifi.com.my/jaringanprihatin
XOX Mobile: https://xox.com.my/jaringan-prihatin-en
YES: https://www.yes.my/kasiupB40
Yoodo: www.yoodo.com.my/jaringanprihatin