Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Jawapan kepada artikel utusan Malaysia “Mengapa Program MySTEP Tidak Dilaksana Untuk Atasi Pengangguran?”

Jawapan kepada artikel utusan Malaysia “Mengapa Program MySTEP Tidak Dilaksana Untuk Atasi Pengangguran?”

Kementerian Kewangan ingin merujuk kepada artikel “Mengapa Program MySTEP tidak dilaksana untuk atasi pengangguran?” yang diterbitkan melalui media cetak dan dalam talian oleh Utusan Malaysia pada 13 April 2021.

Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021, MySTEP merupakan inisiatif Kerajaan bernilai RM700 juta yang membolehkan para pemohon mendapat pekerjaan di pelbagai Kementerian dan Agensi Kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) secara kontrak. Sebanyak 35,000 peluang pekerjaan disediakan di sektor awam, manakala 15,000 peluang pekerjaan di GLC serta rakan-rakan strategik mereka.

Kementerian Kewangan ingin menjelaskan bahawa setakat 31 Mac 2021, seramai 24,919 orang pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program MySTEP. Dari jumlah ini, seramai 23,477 orang pekerja telah ditempatkan di sektor awam sementara 1,442 orang pekerja pula berjaya ditempatkan di GLC dan rakan-rakan strategik mereka. Ini bermakna, Kerajaan telah mencapai 49.8% sasaran keseluruhan MySTEP, yang menyasarkan penciptaan 50,000 peluang pekerjaan jangka pendek bagi tahun 2021.2

Sejak program MySTEP mula dilaksanakan pada bulan Januari 2021, jumlah pekerjaan yang disediakan sentiasa mengatasi sasaran bulanan. Di bawah program tersebut, pemohon telah ditempatkan di pelbagai kementerian dan agensi seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Pemohon untuk GLC pula telah ditempatkan dalam organisasi seperti PETRONAS, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional.

Kerajaan sentiasa berusaha dan komited untuk menghidupkan semula ekonomi negara dalam keadaan norma baharu selepas pandemik dengan memperkasakan rakyat menerusi peluang pekerjaan baru yang diwujudkan. Inisiatif seperti PenjanaKerjaya 2.0, Program Peningkatan Kemahiran dan Latihan Semula dan MySTEP merupakan sebahagian daripada strategi yang lebih menyeluruh di seluruh negara untuk menjana 500,000 pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

Kemajuan inisiatif seperti ini sentiasa dilaporkan kepada Majlis Pekerjaan Negara yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri. Pencapaian program-program ini turut dipantau oleh LAKSANA – sebuah agensi penyelaras yang ditubuhkan pada bulan Mac 2020 bertujuan memantau usaha berkaitan COVID-19 serta langkah-langkah Kerajaan yang lain dalam membantu rakyat serta merangsang ekonomi.


Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
13 April 202

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility