Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Jawatankuasa Dasar Fiskal Bersidang Bagi Merangka Agenda Fiskal Dan Ekonomi Malaysia Yang Mampan

Jawatankuasa Dasar Fiskal Bersidang Bagi Merangka Agenda Fiskal Dan Ekonomi Malaysia Yang Mampan

Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, telah bersidang hari ini bagi membincangkan secara menyeluruh perkembangan ekonomi semasa Malaysia terutamanya cabaran utama luaran dan dalaman, serta meneliti unjuran fiskal jangka pendek dan sederhana selaras dengan peruntukan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA).

Ahli Jawatankuasa yang hadir pada mesyuarat hari ini ialah YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air; YB Menteri Kewangan II yang juga memangku tugas Menteri Ekonomi; Ketua Setiausaha Negara; Ketua Setiausaha Perbendaharaan; Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi; dan Gabenor Bank Negara Malaysia serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan.

YAB Dato’ Seri Anwar menegaskan bahawa FPC memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan hala tuju negara kekal seimbang antara kemampanan fiskal dan pertumbuhan ekonomi selaras dengan komitmen Kerajaan terhadap tadbir urus fiskal yang berhemat, dengan memastikan keperluan rakyat dan sektor perniagaan dipenuhi tanpa menjejaskan kestabilan jangka panjang. Ketika Kerajaan MADANI melangkah ke fasa pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas, ruang fiskal mesti dimanfaatkan sepenuhnya dalam memastikan penjanaan pelaburan awam yang mampu mengubah ekonomi negara secara menyeluruh (“Menaikkan Siling”) dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat (“Menaikkan Lantai”).

“Kerajaan MADANI kekal teguh dalam usaha mencapai kemampanan fiskal, di samping memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh meskipun berdepan cabaran perkembangan global semasa. Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dengan mencatat pertumbuhan sebanyak 4.4% pada separuh pertama tahun 2025, manakala kadar pengangguran menurun ke paras terendah dalam tempoh sedekad iaitu 3%. Pada tahun 2025, ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang pada kadar antara 4% hingga 4.8% didorong oleh permintaan domestik yang kukuh, inflasi yang sederhana serta pasaran buruh yang stabil. Pencapaian ini turut mencerminkan usaha konsolidasi fiskal Kerajaan dalam mengurangkan kadar defisit fiskal berbanding KDNK daripada 5.5% pada tahun 2022 kepada 4.1% pada tahun 2024. Mesyuarat FPC hari ini turut menegaskan iltizam Kerajaan untuk mengekalkan sasaran defisit fiskal 3.8% pada tahun 2025, dan seterusnya mengurangkan defisit kepada 3% atau lebih rendah dalam tempoh jangka sederhana, selaras dengan peruntukan di bawah FRA,” tambah beliau.

Mesyuarat FPC ini diadakan mengikut ketetapan FRA. Sejak penubuhannya, FPC telah memainkan peranan penting dalam membentuk strategi fiskal, memperkukuh tadbir urus pengurusan kewangan awam, serta memastikan kedudukan fiskal Kerajaan kekal mampan dalam jangka sederhana dan panjang. Pada tahun 2025, Kerajaan meneruskan langkah konsolidasi melalui peluasan asas hasil serta mengoptimumkan perbelanjaan, antaranya pelaksanaan penyasaran semula subsidi bahan api RON95. Mesyuarat kali ini juga merupakan platform penting dalam menetapkan trajektori fiskal Kerajaan menjelang pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober 2025.

Selaras dengan peruntukan FRA, Kerajaan MADANI sedang melaksanakan Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) bagi memperluas asas hasil negara dan mewujudkan sistem percukaian yang lebih progresif, di samping memperkukuh pematuhan terhadap amalan terbaik antarabangsa. Bagi fasa seterusnya, fokus utama Kerajaan adalah memastikan ketirisan dapat ditangani dengan lebih berkesan di samping meningkatkan kecekapan melalui pelaksanaan sistem e-invois secara berperingkat. Segala usaha tersebut menzahirkan kesungguhan Kerajaan untuk membina rangka kerja fiskal yang lebih adil, berdaya tahan dan mampan, bagi menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang serta kesejahteraan rakyat.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
19 Ogos 2025

↓ Muat turun: Siaran-Media-Jawatankuasa-Dasar-Fiskal-2025

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility