Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) telah bermesyuarat buat kali kedua pada tahun ini bagi membincangkan keadaan ekonomi serta situasi fiskal semasa, unjuran fiskal jangka sederhana dan kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan. Mesyuarat dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob dan ahli Jawatankuasa ini termasuk Menteri Kewangan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi dan Gabenor Bank Negara Malaysia.
Prospek pemulihan ekonomi dalam masa terdekat lebih memberangsangkan, disokong oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi secara sistematik di bawah Pelan Pemulihan Nasional (PPN) termasuk aktiviti sosial seperti makan di restoran dan pelancongan. Selain itu, pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan dan bantuan yang tepat pada masanya turut memberikan pemangkin tambahan kepada pemulihan ekonomi yang ditunjukkan oleh indikator ekonomi yang lebih baik seperti:
Sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, pemulihan Malaysia amat bergantung kepada pemulihan ekonomi global terutamanya rakan dagang utama negara. Oleh itu, pertumbuhan 2022 dijangka kembali berkembang kukuh seiring dengan pemulihan ekonomi dan perdagangan dunia dalam tempoh separuh kedua 2021 dan tahun hadapan apabila lebih banyak negara mempergiat usaha vaksinasi. Selain itu, pelaksanaan langkah rangsangan ekonomi secara berterusan akan menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dijangka kekal kukuh pada 6.0% berdasarkan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa manakala 5.8% menurut Bank Dunia.
Dari segi kedudukan fiskal Malaysia, Kerajaan telah meningkatkan sasaran defisit pada 2021 di antara 6.5% - 7% daripada KDNK berbanding sasaran asal 5.4% selepas mengambil kira suntikan fiskal tambahan bagi empat pakej bantuan yang diumumkan tahun ini iaitu PERMAI, PEMERKASA, PEMERKASA Tambahan dan PEMULIH berjumlah RM225 bilion atau 14.8% daripada KDNK. Kesemua pakej ini merupakan usaha Kerajaan untuk terus membantu golongan terjejas serta pada masa yang sama menyokong pemulihan ekonomi.
Mesyuarat turut membincangkan prospek fiskal Kerajaan untuk tahun hadapan dan trajektori fiskal jangka sederhana. Dasar fiskal Kerajaan akan terus memberikan sokongan berterusan dalam memastikan pemulihan ekonomi yang mampan dan kelancaran pelaksanaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) yang diumumkan baru-baru ini. Keutamaan segera Kerajaan adalah untuk mengembalikan potensi dan kapasiti pertumbuhan negara supaya rakyat dan perniagaan dapat mengadaptasi norma baharu, serta membuat pelaburan untuk pertumbuhan masa hadapan dan peluang pekerjaan yang lebih baik. Kerajaan akan membentangkan cadangan untuk meningkatkan had statutori hutang daripada 60% kepada 65% daripada KDNK dalam sidang Parlimen kali ini bagi menyediakan fleksibiliti perbelanjaan dalam situasi krisis pandemik.
Kerajaan kekal komited terhadap pendirian konsolidasi fiskal dalam jangka sederhana seperti yang digariskan bawah RMKe-12 dengan defisit disasarkan berkurang kepada 3.5% berbanding KDNK menjelang 2025. Oleh itu, Jawatankuasa turut meneliti pelaksanaan pelbagai langkah fiskal dalam mencapai keseimbangan antara keperluan perbelanjaan Kerajaan dengan kemampanan fiskal. Langkah ini termasuk menambah baik kutipan hasil, mempertingkat kecekapan perbelanjaan dan mengurus hutang dengan lebih berhemat. Jawatankuasa juga bersetuju supaya konsolidasi fiskal jangka sederhana perlu lebih teguh berbanding perancangan sebelum ini dalam mencapai kestabilan makroekonomi dan fiskal jangka panjang selaras dengan jangkaan pemulihan ekonomi.
Berlandaskan prinsip ketelusan dan akauntabiliti, Kerajaan buat julung kalinya telah mengumumkan Kenyataan Pra-Bajet serta empat kertas konsultasi awam mengenai perolehan, bantuan tunai langsung, insentif cukai dan Akta Tanggungjawab Fiskal untuk maklum balas awam. Sehingga kini, Kerajaan telah menerima lebih daripada 1,000 maklum balas dan komen yang akan diberi pertimbangan sewajarnya.
Kementerian Kewangan juga sedang berbincang dan mendapatkan input dari pelbagai pihak berkepentingan dalam menyediakan Belanjawan 2022 yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada 29 Oktober 2021.
Berteraskan semangat Keluarga Malaysia, Kerajaan kekal komited membantu semua lapisan rakyat dalam krisis pandemik, melaksanakan langkah pemulihan yang selamat dan sistematik seperti yang digariskan dalam PPN serta memacu pemulihan mampan di bawah Belanjawan 2022 akan datang. Usaha ini juga akan diselaraskan dengan strategi makroekonomi jangka sederhana RMKe-12 yang dirangka bagi memangkin pertumbuhan inklusif dan mampan untuk seluruh rakyat Malaysia.
Kementerian Kewangan
30 September 2021