Pilih bahasa anda
Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) hari ini mengumumkan penubuhan Lembaga MediAsas bebas bagi menyediakan kepimpinan strategik, pengawasan dan pemantauan terhadap pelaksanaan pelan MediAsas pada masa hadapan.
Lembaga ini akan bertanggungjawab menyediakan pengawasan strategik serta membuat keputusan mengenai aspek utama pelan MediAsas, termasuk pelaksanaan, pentadbiran dan prestasinya, dengan memberikan tumpuan kepada usaha melindungi kepentingan awam, menyokong kemampanan jangka panjang pelan tersebut serta memperkukuh agenda reformasi penjagaan kesihatan swasta.
Lembaga ini dipengerusikan oleh Profesor Emeritus Datuk Dr. Norma Mansor dan dianggotai oleh Profesor Dr. Elil Renganathan, Dato’ Hamidah Naziadin, Encik Ivan Loh Ee Hoe, Puan Serena Thio Hui Ming serta Profesor Dr. Woo Yin Ling. Kesemua ahli Lembaga ini mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam pelbagai bidang, termasuk dasar awam dan tadbir urus, penjagaan kesihatan, insurans dan takaful, operasi hospital serta pengurusan perniagaan.
Lembaga ini turut dianggotai oleh wakil ex-officio daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Kewangan Malaysia dan Bank Negara Malaysia. Lembaga ini akan disokong oleh Pejabat MediAsas yang akan dikendalikan oleh ProtectHealth Corporation. Selain itu, Lembaga ini juga akan mendapat khidmat nasihat daripada pakar antarabangsa, Profesor Dr. Winnie Yip, Profesor Amalan Dasar dan Ekonomi Kesihatan Global di Harvard T. H. Chan School of Public Health, serta penasihat teknikal, Datuk Jessica Chew, bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia.
YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad berkata, “Reformasi penjagaan kesihatan yang dilaksanakan oleh Kerajaan pada akhirnya perlu memberikan manfaat dan hasil yang lebih baik kepada pesakit. Lembaga ini akan memainkan peranan penting dalam memastikan MediAsas terus berpaksikan matlamat tersebut dengan menggabungkan perspektif daripada sektor penjagaan kesihatan dan industri bagi mengurus kos penjagaan kesihatan dengan lebih berkesan, memastikan perlindungan kekal mudah diakses serta menyokong penyampaian penjagaan kesihatan yang lebih baik kepada pesakit dalam jangka panjang.”
YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, “Menjelang pelaksanaan MediAsas di seluruh negara pada akhir bulan Januari 2027, Kerajaan sedang menyediakan asas yang kukuh bagi memastikan kejayaan inisiatif ini. Lembaga bebas ini akan menyediakan pengawasan strategik terhadap pelaksanaan dan prestasinya, melindungi kepentingan awam serta membantu memastikan kemampanan pelan ini dalam jangka panjang. Kepelbagaian kepakaran ahli Lembaga akan menjadi panduan penting dalam peralihan MediAsas daripada fasa rintis kepada pelaksanaan di seluruh negara, di samping memastikan MediAsas terus berperanan sebagai pemangkin kepada reformasi penjagaan kesihatan yang berterusan.”
Majlis Perundingan JBMKKS akan terus memainkan peranan penting dalam menyokong pelaksanaan reformasi di bawah Strategi RESET dengan menghimpunkan pelbagai pandangan daripada pihak industri dan pengguna. Pendekatan ini bertujuan memastikan reformasi yang dilaksanakan bersifat praktikal, responsif terhadap keperluan pihak berkepentingan serta menyokong matlamat bersama untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta yang mudah diakses dan mampan.
Sebagai persediaan ke arah pelaksanaan MediAsas secara nasional pada penghujung Januari 2027, langkah-langkah yang diumumkan di bawah Belanjawan 2027 akan menyokong peluasan akses kepada perlindungan perubatan asas, khususnya bagi golongan yang mempunyai perlindungan insurans dan takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) yang terhad atau tidak mempunyai sebarang perlindungan sedia ada. Premium atau caruman yang dibayar bagi perlindungan yang dibeli untuk individu dan ahli keluarga terdekat mereka akan layak mendapat pelepasan cukai pendapatan. Sementara itu, peruntukan sebanyak RM40 juta akan disediakan bagi menggalakkan pengambilan perlindungan dalam kalangan pekerja perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai kurang daripada 75 orang pekerja.
Selain MediAsas, JBMKKS terus mempergiat pelaksanaan reformasi di bawah Strategi RESET bagi menangani tekanan peningkatan kos penjagaan kesihatan dan memperkukuh sistem penjagaan kesihatan swasta. Antara inisiatif utama ialah pembangunan rangka kerja pengebilan seragam bagi hospital swasta yang diterajui oleh Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM). Rangka kerja ini bertujuan meningkatkan ketelusan dan keseragaman dalam pengebilan hospital, sekali gus memberikan kefahaman yang lebih jelas kepada pesakit mengenai caj hospital, di samping memudahkan perbandingan caj bagi perkhidmatan yang lazim ditawarkan.
JBMKKS turut merakamkan penghargaan atas sumbangan Jawatankuasa Protokol dan Penyelesaian Rakan Kerjasama Penjagaan Kesihatan (HPPSC), termasuk inisiatif untuk memperkukuh komunikasi melalui penyediaan talian khas antara doktor, serta meningkatkan ketelusan dalam proses pelantikan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pengamal perubatan sebagai ahli panel.
Kementerian Kewangan
Kementerian Kesihatan
Putrajaya
4 November 2026